|
BARISAN pemain skuasy remaja Malaysia yang beraksi pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia 2022 di Pattaya, Thailand, semalam. - Gambar ihsan Facebook SRAM
PETALING JAYA: Malaysia sekurang-kurangnya membawa pulang tiga gelaran pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia 2022 yang menyaksikan sembilan wakil negara berentap dalam perlawanan akhir di Pattaya, Thailand, semalam.
Dalam aksi final untuk kategori lelaki bawah 13 tahun yang menemukan dua wakil negara berkesudahan Sim Yeak Wei menewaskan Muhammad Raziq Putra Mohd Fakhrur 11-6, 6-11, 11-4, 8-11, 11-3.
Mengikut jejak langkah Yeak Wei, seorang lagi pemain Malaysia, Harleein Tan yang diletakkan selaku pilihan utama menundukkan wakil Hong Kong, Chloe Lo 11-3, 11-2, 11-0 dalam perlawanan akhir yang hanya memakan masa selama 14 minit.
Sementara itu, bagi kategori lelaki bawah 15 tahun, Malaysia turut memiliki dua wakil yang bertembung sesama sendiri iaitu pilihan kedua, M. Nickhileswar menentang pilihan keempat, Aqil Mirza Naim Khairil Fariz.
Nickhileswar menepati sasaran awal selaku pilihan kedua apabila tidak berdepan masalah menyingkirkan Aqil Mirza 11-8, 11-9, 11-6 dalam masa 29 minit.
Satu-satunya kategori yang tidak memiliki wakil Malaysia dalam perlawanan akhir ialah kategori perempuan bawah 15 tahun yang dimenangi pemain India, Anahat Singh setelah mengalahkan Ena Kwong dari Hong Kong 11-7, 12-10, 11-5.
Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi Malaysia bagi kategori lelaki dan perempuan bawah 17 tahun apabila kedua-dua wakil negara, Low Wa Sern serta Goh Zhi Xuan tewas dalam perlawanan akhir tersebut.
Zhi Xuan yang beraksi dalam saingan perempuan bawah 17 tahun terpaksa akur dengan ketangkasan Akari Midorikawa dari Jepun 4-11, 4-11, 6-11 dalam masa 25 minit.
Sementara Wa Sern pula, gagal menyaingi kehebatan lawan dari Korea Selatan, Na Jooyoung apabila tunduk dalam straight set 7-11, 8-11, 11-13.
Dalam pada itu, skuad skuasy negara menutup kejohanan Asia itu dengan penuh gemilang apabila pemain muda negara, Aira Azman meneruskan dominasi Malaysia pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia 2022 di Pattaya, Thailand, apabila mempertahankan gelaran yang pernah dimenangi Chan Yi Wen pada 2018 dan 2019 dalam kategori perempuan bawah 19 tahun.
Adik kepada Aifa yang berusia 18 tahun itu yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan hanya memerlukan masa selama 18 minit untuk mengetepikan cabaran Kirstie Wong dari Hong Kong 11-8, 11-3, 11-2. – UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/terkin ... adi-milik-malaysia/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|