KEPALA BATAS: Wang sejumlah RM134,503 dalam akaun milik seorang pesara wanita hilang sekelip mata selepas dia menyerahkan maklumat perbankan kepada seorang lelaki yang kononnya pegawai bank.
Insiden bermula apabila mangsa berusia 61 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memaklumkan bahawa kad kredit miliknya digunakan untuk tujuan pembelian mata wang digital bitcoin melalui tiga transaksi berjumlah RM15,991.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata mangsa bagaimanapun menafikan penggunaan kad kredit terbabit selain menegaskan bahawa dia tidak mempunyai akaun wang digital itu.
"Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa dia adalah pegawai dari Bank Negara sebelum meminta mangsa memberikan maklumat perbankan membabitkan nama pengguna dan kata laluan kononnya untuk tujuan siasatan.
"Mangsa menyerahkan maklumat seperti diminta dan menerima mesej daripada pihak bank bahawa sejumlah RM134,503 dikeluarkan dari akaun miliknya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Radzi berkata, mangsa tampil membuat laporan polis semalam berhubung kejadian menimpa dirinya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.