|
Urutan ketika hamil
URUTAN kaki.
Jika ditanya wanita hamil adakah mereka ingin tubuh dibelai dan diurut manja, sudah pasti ramai memberikan jawapan ya. Namun mitos mengatakan golongan ini tidak boleh diurut saat disahkan hamil kerana dikhuatiri mengakibatkan keguguran menyebabkan ramai tidak melakukannya.
Hakikatnya tanyalah kepada sesiapa saja, akibat perubahan hormon, kehamilan adalah saat memenatkan. Otot terutama kaki sering lenguh dan kejang malah membengkak disebabkan banyak berjalan. Oleh itu urutan bukan saja melegakan malah menenangkan emosi dan fikiran.
Ini diakui Pengasas Bersama Bondahaven Spa Dr Tengku Nur ‘Atiqah Tengku Mahmood yang mengatakan tiada kes menunjukkan urutan memberikan masalah kepada kandungan asalkan dilakukan dengan cara yang betul dan di tempat sepatutnya. Untuk itu dia mencadangkan wanita hamil berurut ketika kandungan mencecah 16 sehingga 36 minggu iaitu pada trimester kedua saja.
“Kawasan yang boleh disentuh seperti bahu dan pinggul sehingga ke bahagian tapak kaki manakala perut seharusnya dielakkan,” katanya.
Kata Dr Tengku Nur’Atiqah, ramai tidak tahu urutan mampu mengurangkan kepekatan norepinefrin dan kortisol yang menyebabkan tekanan.
Ini mengakibatkan wanita hamil mudah berasa penat dan tidak bertenaga. Ia juga akan menjadikan mereka cepat marah, tidak bermaya dan berputus ada.
URUTAN lembut pada bahu melegakan tekanan.
“Urutan diiringi muzik lembut meningkatkan kepekatan hormon dopamin dan serotonin menjadikan tubuh lebih tenang dan bersemangat. Hormon ini juga akan mengurangkan masalah dan komplikasi ketika proses bersalin, mengurangkan kesakitan dan memperbaiki sistem imuniti melawan jangkitan bakteria dan virus.
“Urutan juga boleh mengurangkan bengkak pada sendi dan tubuh. Selain itu berurut dapat membuat wanita tidur lebih nyenyak. Membantu mengurangkan kesakitan pada pinggang belakang tanpa mengambil ubat penahan sakit,” katanya.
Sungguhpun berurut memberi banyak manfaat, tidak semua wanita hamil selamat melakukannya. Antara yang tidak digalakkan berurut termasuk individu yang mempunyai penyakit darah tinggi dan praeklampsia, pernah mengalami kelahiran pramatang, pendarahan disebabkan masalah uri, keguguran serta kehamilan kurang 12 minggu.
Apa yang penting wanita perlu memberitahu juruterapi usia kandungan mereka bagi mengelak risiko yang mungkin dihadapi. Paling penting berurut dengan juruterapi bertauliah dan berpengalaman agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
“Untuk mendapatkan keberkesanannya teknik urutan yang dilakukan menggabungkan cara Melayu dan Filipina. Menerusi kedua-dua teknik ini ia turut menyelesaikan masalah wanita yang mengalami masalah susu kering atau tiada susu,” katanya.
URUTAN kaki mengurangkan lenguh dan kekejangan.
Urutan dilakukan secara perlahan-lahan dengan tidak terlalu menekan. Ketika mengurut lengan dan kaki pula, teknik urutan hendaklah menghala ke jantung atau dada. Ia baik untuk pengaliran darah dan boleh mengurangkan masalah ‘bengkak air’ di kaki (edema).
Urutan juga penting ketika hendak bersalin. Suami boleh melakukan urutan pada bahagian tulang belakang dan ketika menahan sakit sewaktu hendak bersalin. Ia dikatakan dapat memberikan kelegaan dan mengelak penggunaan ubat penahan sakit.
Sementara itu, amalan mengurut selepas bersalin sangat penting bagi melancarkan pengaliran darah, mengembalikan bentuk badan dan mengurangkan tekanan.
“Urutan bermula pada bahagian tapak kaki, naik ke lutut dan ke paha sehingga ke seluruh badan. Urutan hendaklah mengarah ke atas bagi menggalakkan darah mengalir kembali semula ke jantung,” jelasnya.
Mengulas mengenai idea pembukaan spa jelas Dr Tengku Nur ‘Atiqah, dia mendapat ilham dua tahun lalu kerana ingin membantu ibu muda berdepan peralihan peranan dan tuntutan sebagai ibu.
“Apa yang menjadikan Bondahaven unik ialah pengintegrasian amalan terbaik penjagaan selepas bersalin yang ditawarkan oleh sains moden dengan penjagaan secara tradisional yang sudah terbukti keberkesanannya sejak berzaman.
“Tanpa mengorbankan keselesaan dan pengalaman mewah diharapkan wanita yang berkunjung ke sini memperoleh manfaat daripadanya dan dapat menjalani pengalaman mengandung, bersalin dan ketika dalam pantang dengan gembira. Pada masa sama, kami turut berbangga kerana spa ini dikendalikan sepenuhnya oleh wanita dan ditujukan kepada wanita, selaras tujuan memperkasakan kaum ibu dalam keluarga,” katanya.
TERAPI melakukan urutan jari pada ibu hamil.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/hati/2018/09/374487/urutan-ketika-hamil
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|