View: 620|Reply: 0
|
KL City paling handal jaring gol
[Copy link]
|
|
Aksi KL City FC (jersi merah) menentang Sarawak United FC dalam saingan Liga Super sebelum ini. - Foto ihsan FB Kuala Lumpur City.
KUALA LUMPUR: Selepas sembilan minggu perlawanan, sebanyak 130 gol sudah dihasilkan dalam saingan Liga Super setakat ini.
Juara Piala Malaysia, KL City FC muncul penjaring terbanyak dengan 16 gol, diikuti Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan 15 gol serta Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC yang meledak 13 gol.
Ini bukanlah gambaran sebenar mengenai kemampuan pasukan meledak gol memandangkan ada pasukan yang belum melengkapkan sembilan perlawanan Liga Super ketika ini.
Namun, daripada semua 130 jaringan yang disaksikan, berapakah jaringan yang boleh disifatkan 'mahal' di mana ia menjadi gol kemenangan yang membantu pasukan masing-masing mengutip mata penuh?
Berdasarkan statistik, tiga pemain skuad Kenari berjaya mencetak empat gol kemenangan buat pasukan mereka yang memastikan Kedah mengutip 12 mata.
Penggempur berbisa mereka, Ronald Ngah meledak dua gol kemenangan iaitu 1-0 ketika menentang Sarawak United FC dan 2-1 pada aksi berdepan Penang FC.
Dennis Buschening meledak gol ketiga Kedah ketika mereka menang 3-2 ke atas KL City FC sementara jaringan tunggal Rodney Celvin membolehkan Kedah mengutip mata penuh ke atas Sri Pahang FC.
Pendatang baharu Liga Super, Negeri Sembilan FC pula memiliki tiga penjaring gol kemenangan yang memastikan sembilan mata menjadi milik mereka pada musim ini.
Khair Jones meledak gol pertama mereka dalam Liga Super ketika menewaskan Sabah FC 1-0 disusuli jaringan kemenangan Herold Goulon ke atas KL City FC dan gol Matheus Alves ketika mereka menewaskan Sarawak United FC, 2-1.
Gandingan berbisa skuad Harimau Selatan iaitu Bergson da Silva dan Fernando Forestieri tidak kurang hebatnya selepas jaringan kemenangan daripada dua pemain import ini menghadiahkan sembilan mata kepada Benjamin Mora.
Bergson menjaringkan dua gol kemenangan bagi membantu JDT menang 1-0 ke atas Penang dan 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) sementara jaringan menarik Fernando Forestieri pada minit ke-110 ketika menentang NSFC memastikan JDT terus unggul di persada liga.
Melaka United FC dan KL City FC juga memiliki dua penjaring gol kemenangan yang membolehkan mereka mengutip enam mata berharga bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam Liga Super.
Jaringan Hasbullah Abu Bakar memastikan Melaka menang 2-1 ke atas SPFC sementara Ifedayo Olusegun meledak gol kemenangan untuk meranapkan impian KDA FC daripada mengutip tiga mata.
Pemain kebangsaan, Zhafri Yahya meledak gol ketiga KL City FC yang jelas menjadi gol penting selepas Penang FC bangkit menjadikan kedudukan 3-2 sementara jaringan J Partiban membolehkan KL City menang 2-1 ke atas SU.
https://www.bharian.com.my/sukan ... g-handal-jaring-gol |
|
|
|
|
|
|
| |
|