View: 495|Reply: 0
|
[Kedah]
Kes HFMD di Kedah terus meningkat
[Copy link]
|
|
Alor Setar: Jangkitan kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Kedah terus meningkat apabila sejumlah 790 kes baharu dilaporkan, menyebabkan 13 pusat pendidikan awal kanak-kanak ditutup.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jumlah terbabit dicatatkan sepanjang tempoh minggu epidemiologi ke-20 bermula 15 hingga 21 Mei.
Katanya, secara keseluruhan Kedah mencatat 2,225 kes HFMD, berbanding hanya 1,473 kes yang dilapor bagi tempoh sama pada 2019.
"Berikutan penularan wabak berkenaan, 13 premis membabitkan sembilan taska, dua tadika dan dua pra-sekolah terpaksa ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selain ada yang ditutup secara sukarela.
"Semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan pesakit diberi rawatan pesakit luar dengan tiada kes membabitkan komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr Mohd Hayati berkata, sepanjang tahun ini, Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 509 kes diikuti Kubang Pasu (361), Kota Setar (229) dan Kulim (207), manakala 40 premis ditutup sementara atau ditutup secara sukarela.
"Penyakit HFMD adalah disebabkan jangkitan pelbagai jenis virus, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) yang merebak melalui kontak air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.
"Majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan seperti demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah dengan hampir keseluruhan pesakit pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam masa tujuh ke 10 hari," katanya.
Jelasnya, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti jangkitan otak, jangkitan paru-paru dan jangkitan otot jantung.
Berikutan itu, orang ramai yang mempunyai anak kecil diminta mengambil langkah berjaga mengurangkan risiko jangkitan melalui langkah menjaga kebersihan diri, cuci tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun atau pensanitasi tangan, elak menghantar anak bergejala ke pusat jagaan serta tidak membawa anak ke tempat awam yang sesak.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... dah-terus-meningkat |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|