Sepanjang 23 tahun bekerja sebagai penyampai radio, pengalaman DJ Lin berada di luar negara hanyalah ketika menunaikan ibadah umrah pada tahun 2010 dan 2012. Oleh itu, wanita itu tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila buat pertama kali berpeluang melawat empat negara Eropah iaitu Denmark, Sweden, Britain dan Perancis.
Memetik laporan mStar, pemilik nama sebenar Roslinda Abdul Majid berada di MALMO MASSAN, Malmo Sweden menghadiri Persidangan Radio Eropah 2022 dan seterusnya akan berangkat ke Denmar, London dan Paris.
"Saya teruja sebab sepanjang hidup hanya berpeluang untuk ke luar negara ketika menunaikan umrah pada 2010 dan 2012. Itu pun ke Makkah dan Madinah. Selepas itu tidak ada. Tak sangka dah 23 tahun dalam dunia radio barulah dapat pergi melawat negara Eropah.
"Saya anggap ia rezeki satu trip dapat pergi empat negara terus. Saya bersyukur dan ini adalah rezeki dan kenangan 2022," katanya kepada mStar.
DJ Lin memaklumkan persidangan yang dihadirinya itu menghimpunkan penggiat, pengamal serta peneraju industri radio dari seluruh dunia. Acara itu diisi dengan aktiviti bual bicara dan perkongsian pengalaman berkenaan isu berkaitan dunia radio yang dibincangkan selama tiga hari.
"Saya teruja namun bimbang tidak dapat balik Malaysia. Risau ada apa-apa yang berlaku kepada saya. Sebab itulah saya minta pendengar Suria FM dan peminat doakan saya agar selamat pergi dan pulang ke Malaysia meneruskan tugas di Suria Cinta," katanya. -CARI
|