View: 374|Reply: 0
|
[Kedah]
Lumpuh tak patahkan semangat Cikgu Zul terus mendidik
[Copy link]
|
|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/zuka1_%282%29_1652582515.jpg)
Cikgu Zul mengambil masa enam bulan belajar semula menulis menggunakan tangan kiri. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
KUBANG PASU: Lumpuh sebelah badan akibat serangan strok kira-kira 17 tahun lalu, langsung tidak mematahkan semangat Mohd Zukhairul Yahya, 42, untuk terus menunaikan amanah sebagai pendidik.
Guru Sains di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SKBBS) ini berkata, beliau pada mulanya menangis memikirkan keadaan diri yang tidak lagi sempurna, apatah lagi tangan kanan yang digunakan untuk menulis dan urusan lain turut terjejas.
Namun, kerana terlalu cintakan kerjaya sebagai seorang pendidik, bapa kepada dua anak ini tidak pernah putus harapan.
"Selepas dua minggu diserang strok, saya mula boleh berjalan perlahan-lahan. Saya jalani sesi fisioterapi secara berkala selama dua tahun di hospital, di rumah pun saya akan buat sendiri seperti yang diajar oleh ahli fisioterapi.
"Saya terpaksa belajar menulis guna tangan kiri. Pada mulanya, tulisan saya sangat teruk, namun saya tetap gagahi agar dapat mengajar seperti biasa. Enam bulan saya berlatih menulis guna tangan kiri, akhirnya saya boleh.
"Alhamdulillah, semuanya Allah izinkan asalkan kita berusaha," katanya yang lebih mesra dipanggil Cikgu Zul sambil menambah, beliau tidak berseorangan mengharungi kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana mendapat sokongan moral ahli keluarga, rakan-rakan guru dan pelajar.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/zuka_%282%29_1652582518.jpg)
Mohd Zukhairul mulanya menangis memikirkan keadaan diri yang tidak lagi sempurna, apatah lagi tangan kanan untuk menulis dan urusan lain turut terjejas akibat serangan strok. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Katanya, ia menyebabkan hari-hari yang dilalui sejak 17 tahun lalu tidak terasa asing dalam kalangan warga sekolah terbabit kerana rakan-rakan di sekolah selalu memberi semangat dan panduan kepadanya untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai guru.
"Pelajar-pelajar pun sangat memahami, kadang-kadang susah juga hendak bekerja dengan sebelah tangan, tetapi kalau mereka nampak saya bawa buku atau buat eksperimen, mereka akan cepat-cepat tolong," katanya.
Zukhairul yang mempunyai minat mendalam terhadap bidang fotografi dan aktif sebagai jurugambar sekolah, berkata pihak pentadbiran sekolah turut mengambil keputusan menempatkan beliau di sebuah makmal di tingkat bawah.
"Setiap kali sekolah menganjurkan aktiviti, saya akan merakamkan gambar kenangan sebelum didokumentasikan untuk simpanan sekolah," katanya yang juga guru catur sekolah dan sedang melatih 10 pelajar untuk pertandingan peringkat daerah.
"Saya sentiasa aktif dalam mendidik murid-murid yang saya anggap sebagai anak sendiri. Sempena sambutan Hari Guru esok, saya harap guru-guru lain juga akan terus cekal dan bersemangat mendidik anak bangsa menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... -zul-terus-mendidik |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|