|
PEMAIN pertahanan Sri Pahang FC, Azwan Aripin (kanan) cuba menghalang pemain Kuala Lumpur (KL) City FC. FOTO ihsan Sri Pahang FC
Kuantan: Aksi lebih bertenaga dan mantap menjadi fokus utama Sri Pahang FC apabila berdepan Sarawak United pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Rabu ini.
Kemenangan 2-1 ke atas juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur (KL) City FC, kelmarin, membantu meningkatkan motivasi buat skuad Tok Gajah.
Bagi pemain pertahanan, Azwan Aripin, kejayaan menewaskan KL City memberi sumber inspirasi kepada skuad Tok Gajah dan meningkatkan moral pasukan ketika ini.
"Fokus kami adalah meneruskan misi mengutip tiga mata apabila berdepan Sarawak United, Rabu ini.
"Kelebihan beraksi di halaman sendiri diharap membantu kekal berada pada kedudukan terbaik dalam Liga Super," katanya.
Selepas enam perlawanan, Sri Pahang melonjak di kedudukan keenam liga dengan mengutip tujuh mata hasil daripada dua kemenangan dan satu seri.
Mengulas prestasi tidak konsisten Sarawak United yang menghuni dua tangga tercorot liga, Azwan dan rakan sepasukan tidak boleh memandang mudah perlawanan itu.
Katanya, skuad bimbingan Christophe Gamel itu akan lebih berwaspada dan memastikan lawan tidak membolosi gawang.
"Walaupun mereka tidak berada pada prestasi terbaik, jentera serangan mereka lebih berbahaya dan kami perlu lebih bersedia.
"Saya harap kami dapat bermain dengan lebih baik untuk menafikan lawan daripada membawa pulang mata," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... us-kecapi-tiga-mata |
|