View: 413|Reply: 0
|
Sathia bengang 'lakonan' Mawutor
[Copy link]
|
|
Pemain NSFC meraikan kejayaan menewaskan Sarawak pada aksi Liga Super malam tadi. - FC NSFC
KUALA LUMPUR: "Dia (David Mawutor) macam ditembak dengan pistol yang besar apabila jatuh seperti itu."
Itu reaksi pengendali Sarawak United, B Sathiananthan ketika mengulas mengenai sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) selepas Gonzalo Soto mengasari Mawutor pada minit ke-61 pada aksi Liga Super malam tadi.
Sathianathan menyifatkan penalti itu terlalu 'senang' untuk diberikan kepada skuad Jang dengan ia mudah disempurnakan Herold Goulon sekali gus membolehkan pelawat menyamakan kedudukan.
Malah, situasi tuan rumah diburukkan apabila pemain tuan rumah mendakwa bola sudah pun terkeluar daripada garisan padang namun permainan diteruskan dan gerakan itu membolehkan NSFC meledak gol kemenangan pada minit ke-69.
"Selepas dapat penalti, dia melompat dan bermain seperti biasa. Sukar untuk kita apabila segalanya serba tidak menjadi terutamanya untuk pasukan seperti Sarawak. Kita seakan dibuli, saya tidak tahu tetapi kita perlu terus bekerja keras.
"(Gol kedua) Pemain kita berhenti bermain kerana bola keluar tetapi penjaga garisan meneruskan permainan dan ketika itulah mereka ambil kesempatan untuk menjaringkan gol. Pemain perlu belajar supaya jangan berhenti bermain walaupun penjaga garisan tidak mengangkat bendera.
"Pemain katakan bola sudah keluar, penyokong pun katakan perkara yang sama tetapi cuma penjaga garisan sahaja yang nampak. Apapun, kesilapan yang mudah membuatkan kita dibolosi," katanya.
Pada aksi di Stadium Negeri itu, NSFC bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk meneruskan rekod tanpa kalah dalam Liga Super kepada enam perlawanan dan melonjak ke tangga teratas selepas Kedah Darul Aman FC tewas 3-2 di tangan Melaka United.
Sementara itu, jurulatih skuad Jang, K Devan mengakui sepakan penalti yang diberikan menjadi titik pengubah buat pasukan itu untuk membantu mereka memburu gol kedua sekali gus terus 'kebal' pada musim ini.
"Kita bergelut dengan hantaran panjang Sarawak yang sememangnya berbahaya tetapi kita bertahan dengan baik. Cuma kita sepatutnya bertahan dengan lebih kemas ketika menghadapi situasi bola mati yang mencetuskan gol buat Sarawak.
"Selepas gol pertama, kami lebih bersemangat dan terus fokus untuk memburu gol dan kita berjaya. Sarawak terus memberi tekanan kepada kita tetapi kita berjaya mengekalkan kedudukan untuk tiga mata berharga," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ang-lakonan-mawutor |
|
|
|
|
|
|
| |
|