GEORGETOWN: Polis membongkar makmal mini memproses serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), syabu, ketamin, pil ekstasi dan erimin 5.
Dadah berkenaan dipercayai dicampur dalam minuman perisa buah-buahan, bagi pasaran negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata serbuan kira-kira jam 2 pagi, Khamis lalu itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan.
Katanya, polis turut menemukan sebanyak 85 peket dadah MDMA, syabu (53.7 gram), empat paket ketamin (16.5 gram), 45 biji pil ekstasi (16 gram) dan 40 pil dadah erimin 5 (12 gram).
"Sindiket itu bergiat aktif sejak Februari lalu dan dipercayai bagi diedarkan bagi pasaran tempatan.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine tetapi tiada rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah," katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohd Shuhaily, suspek berusia 32 tahun itu direman sehingga 22 Mac bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan turut membabitkan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta 1988)," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Mohd Shuhaily berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang sudah menahan seramai 2,773 individu bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Mac lalu.
Katanya, sehingga kini JSJN Pulau Pinang merekodkan sitaan dan dadah yang dirampas bernilai lebih RM8 juta.