CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 389|Reply: 0

[Terengganu] Mohon baiki segera jeti Kedai Payang

[Copy link]
Post time 15-3-2022 10:56 AM | Show all posts |Read mode

Keadaan jeti berhampiran Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu yang rosak berikutan banjir dan arus deras pada November lalu. Foto Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Kerosakan yang berlaku pada jeti bot penambang berhampiran Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) mampu mengundang kecelakaan kepada pengguna sekiranya langkah membaikinya tidak diambil dengan segera.

Pemandu bot, Razali Abdul Ghani, 72, berkata, kerosakan pada struktur jeti itu berlaku pada November lalu berikutan banjir dan arus deras.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan struktur pada bahagian jeti terapung terbabit mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian laluan yang menyambungkan pelantar ke darat.

"Kami pemandu bot mengambil inisiatif sendiri dengan mengeluarkan modal kira-kira RM500 untuk membaiki jeti berkenaan sekadar termampu kerana bimbang keselamatan penumpang harian mahupun pelancong luar yang datang untuk menggunakan perkhidmatan ini.

"Ketika air pasang laluan yang menyambungkan pelantar terapung ke bahagian darat dilihat stabil namun keselamatannya masih diragui dan ia mampu mengancam nyawa penumpang sekiranya tidak ditangani dengan segera," katanya.

Menurutnya, hampir empat bulan jeti di sebelah pasar mengalami kerosakan akibat bencana alam dan berharap pihak berwajib segera membaiki jeti terbabit yang menjadi antara kemudahan bagi penumpang menyeberangi Sungai Terengganu itu.

Katanya, keadaan itu juga membuatkan pemandu bot berasa malu terutama apabila menerima pengunjung luar yang ingin menggunakan perkhidmatan bot penambang memandangkan keadaan jeti yang bermasalah.

"Kami ibarat duta kecil terutama ketika membawa pelancong luar yang bertandang ke negeri ini, namun perasaan malu juga wujud apabila melihat kepada jeti yang boleh mengancam nyawa pengguna," katanya.

Rakannya, Saidi Muhammad, 47, berkata, tidak jauh dari jeti itu terdapat sebuah lagi jeti yang digunakan oleh pengendali Water Taxi (WT) namun penumpang kami biasanya tidak mahu mereka diambil atau diturunkan di jeti berkenaan.

"Penumpang bot biasanya tidak mahu mereka diambil atau dihantar ke jeti WT kerana jaraknya lebih jauh memandangkan mereka biasanya membawa barangan sekiranya membeli keperluan di pasar.

"Saya berharap jeti bot penambang sedia ada ini dibaiki dengan segera bagi menjamin keselamatan penumpang selain memperlihatkan imej yang lebih baik di mata pelancong luar," katanya.

Menurutnya, walaupun laluan bandar Kuala Terengganu dan Kampung Seberang Takir sudah mempunyai jambatan angkat namun perkhidmatan bot penambang masih relevan dan mempunyai tarikan tersendiri.

Saidi berkata, kedua-dua jeti iaitu di bahagian PBKP dan Kampung Seberang Takir memainkan peranan kepada penumpang setempat dan pelancong luar terutama yang ingin menikmati pemandangan jambatan angkat dari arah sungai.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-6-2024 06:28 PM GMT+8 , Processed in 0.454464 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list