![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220219/ubowebfiller1.jpg)
KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) hari ini mengesahkan terdapat gangguan bekalan air di Bahagian Sarikei akibat kebocoran paip utama dari Loji Rawatan Air Bayong ke Tangki Aras Tinggi Bulat disebabkan aktiviti dan kerja mengorek jalan Pan Borneo.
Menurut kenyataan JBALB hari ini, gangguan tersebut menyebabkan banyak kawasan di Bahagian Sarikei terjejas bekalan air sejak semalam lagi.
“Walaupun kerja-kerja baik pulih telah disiapkan oleh pihak Pan Borneo, namun demikian ia mengambil masa sedikit lama untuk kembali pulih.
“Kebocoran itu turut menjejaskan sistem bekalan air melibatkan kawasan yang agak luas,” katanya.
Di samping itu, ia juga mengakibatkan tekanan air tidak stabil di beberapa kawasan dan kemungkinan para pengguna menerima bekalan air yang keruh.
Buat masa ini, penghantaran bekalan air turut dilakukan oleh pihak JBALB Bahagian Sarikei dan pihak kontraktor di kawasan-kawasan terjejas.
Kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air adalah seluruh kawasan Sare, sepanjang Jalan Meruton-Merudu, sepanjang Jalan Bayong, sepanjang jalan dari Jakar sehingga simpang Selalang, Jalan Selalang, kawasan Jalan KJD Meradong, Skim B, seluruh kawasan Pakan.
Selain itu, sepanjang Jalan Bulat dari Sungai Rusa hingga Sungai Joh, Kesa Baron, Kesa, Jalan Onn Dian, Sungai Garan, Jalan Friendship, Jalan Cola dan simpang Pakan, manakala kawasan Pekan Bintangor, Sungai Sian, Selidap, Bukit Papit dan kawasan Lebaan dijangka mengalami tekanan air rendah.
Perkembangan terkini akan dimaklumkan kepada pengguna melalui platform media sosial JBALB Sarawak.
Para pengguna juga boleh menghubungi JBALB Call Centre menerusi talian 082-262211 untuk mendapatkan maklumat terkini.
utusanborneo.com.my/2022/02/19 |