Lelaki yang ditahan polis IPD Lubok Antu kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti judi dalam talian.
LUBOK ANTU: Seorang pembantu kedai berusia 34 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti judi dalam talian pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah (KPD) Lubok Antu DSP Victor Ripon berkata, lelaki tempatan itu ditahan dalam Ops Dadu di Pekan Lubok Antu, jam 4.15 petang.
"Ketika pemeriksaan dilakukan, polis mendapati lelaki terbabit menjalankan aktiviti tambah nilai judi dalam talian.
"Berikutan itu, lelaki itu ditahan dan polis turut merampas satu unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM74 untuk dijadikan bahan kes," katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
Pada masa sama, Victor berkata, polis sentiasa berusaha membanteras kegiatan judi dan aktiviti jenayah lain.
"Polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dan memandang serius terhadap aktiviti menyalahi undang-undang.
"Ini amat penting bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat sentiasa terjaga sepanjang masa," jelasnya.
utusanborneo.com.my/2022/02/19 |