![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220219/sbw-ub180222-as-keluar-p1.jpg)
SIBU: Kerajaan negeri harus menguatkuasakan undang-undang lebih tegas untuk mengawal pemaju perumahan bagi melindungi pembeli rumah daripada menjadi mangsa penipuan.
Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling (gambar) berkata, beliau menerima aduan daripada ramai pembeli rumah yang menghadapi dilema sedemikian apabila mereka gagal mendapatkan rumah mereka yang dijanjikan daripada pemaju perumahan berikutan projek yang belum siap.
Beliau berkata, beberapa projek yang belum siap ini terbengkalai, menyebabkan pembeli tanpa sebarang Permit Menduduki (OP) atau hak milik tanah.
"Oleh itu, kerajaan harus melihat masalah ini dengan serius supaya kepentingan pembeli rumah tidak terpelihara," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa projek perumahan di Ulu Sungai Merah dan Jalan Salim yang didakwa gagal disiapkan oleh pemaju perumahan
Ini termasuklah infrastruktur mengikut piawaian Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
Akibatnya, MPS tidak dapat mengeluarkan OP dan juga hak milik tanah.
Walaupun begitu, Oscar memberitahu segelintir pembeli terus berpindah ke rumah tersebut walaupun tanpa OP kerana mereka tidak mempunyai banyak pilihan setelah membayar semua wang pendahuluan.
"Bagaimanapun, tanpa hak milik tanah, di situlah dilema terbesar pembeli rumah ini kerana mereka tidak boleh menjual rumah mereka," tambahnya.
Oscar berkata, kerajaan perlu menyenaraihitamkan pengarah syarikat yang menggunakan kelemahan undang-undang untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab.
Beliau berkata, masalah sebegitu telah wujud selama lebih 10 tahun dan masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.
"Walaupun ada undang-undang yang boleh menuntut pampasan daripada pemaju, sesetengah daripada mereka dipercayai menggunakan kebankrapan syarikat sebagai alasan untuk mengancam pembeli rumah bagi mengelak liabiliti," tegasnya.
utusanborneo.com.my/2022/02/19 |