![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220213/myy-ub130222-ai-kemalangan-p2.jpeg)
KEMALANGAN: Salah seorang mangsa yang mengalami kecederaan parah diusung ke ambulans untuk dibawa ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan lanjut.
MIRI: Dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia lima dan dua tahun antara empat mangsa yang terbabit kemalangan melibatkan sebuah kereta yang bertembung dengan sebuah treler muatan minyak di jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Desa Senadin ke Kuala Baram di sini hari ini.
Keempat-empat mangsa yang menaiki kereta tersebut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan kira-kira jam 8.47 pagi.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nasir Razali bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan terbabit.
“Sampai di lokasi, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan treler muatan minyak bertembung dari arah bertentangan lalu menyebabkan kereta terbabit terbabas ke tepi jalan.
“Kereta dinaiki empat orang mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki dan dua wanita dewasa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, kenyataan itu menjelaskan pemandu kereta berusia 30 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan.
“Penumpang hadapan berusia 53 tahun mengalami kecederaan di kaki manakala dua kanak-kanak mengalami kecederaan ringan.
“Kesemua mangsa tersebut tidak tersepit dan telah dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan pengusung seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, pemandu treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Selepas memastikan kesemua mangsa berjaya diselamatkan, operasi tersebut tamat jam 9.33 pagi.
utusanborneo.com.my/2022/02/13 |