![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220211/kch-ub110222-hh-tujuh-p1.jpg)
Christopher (dua kanan) dan Hani (kanan) bersama anak guam mereka semasa di lobi Mahkamah Kuching.
KUCHING: Tujuh lelaki termasuk dua beradik, menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini daripada pertuduhan melakukan rogol berkumpulan terhadap seorang rakan perempuan mereka di pantai pada 2019.
Kesemua tertuduh yang berusia antara 19 dan 31 tahun dari Lundu itu kelihatan melahirkan rasa lega dan bersyukur apabila mendengar keputusan yang dibacakan oleh Hakim Jason Juga.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan terhadap kesemua tertuduh dalam kes prima facie.
“Kesemua tertuduh dengan ini dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu membela diri. Deposit jaminan dikembalikan jika ada,” ujar Jason semasa memberikan keputusan kes tersebut, hari ini.
Difahamkan, keterangan mangsa dan saksi didapati banyak bercanggah, selain tidak disokong keterangan lain.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama melakukan rogol berkumpulan terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun di Pantai Pandan Lundu, sekitar jam 9 malam pada 7 Julai 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Pada hari kejadian juga iaitu pada 2019, tiga daripada tertuduh merupakan remaja bawah umur berusia 17 tahun, manakala selebihnya berusia 20, 21, 24 dan 29 tahun.
Tujuh saksi pendakwaan termasuk mangsa, pihak polis, doktor dan dua rakan mangsa dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 2020.
Bagaimanapun difahamkan, perbicaraan terpaksa ditangguhkan banyak kali susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak pandemik COVID-19.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan.
Pada 12 September 2019, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan tersebut dan masing-masing dibebaskan dengan jaminan mahkamah RM10,000 dan jaminan tunai berjumlah RM2,000 setiap seorang dengan dua penjamin yang beralamat tetap dan bekerja.
Bagi pesalah bawah umur, mahkamah menetapkan agar penjamin terdiri daripada ibu bapa mereka sendiri.
Empat tertuduh diwakili peguam Hani Iryani Bonny, manakala selebihnya diwakili peguam Abdul Rahman Mohd Hazmi, Christopher Bada dan Roy Gingkoi.
utusanborneo.com.my/2022/02/11 |