![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220211/9189b7ca-d629-49bb-95aa-33f260d832dc.jpeg)
TERSEPIT: Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di dalam lori terbabas.
RANAU: Dua lelaki masing-masing pemandu lori dan kelindannya parah selepas lori dua tan yang dinaiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Batu 3, Jalan Kundasang - Ranau di sini kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridhwan Taib berkata pemandu parah di bahagian kepala dan kelindannya mengalami patah kaki.
“Sepasukan anggota serta pegawai dari BBP Ranau bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 4.08 petang.
“Kemalangan membabitkan lori dua tan yang membawa muatan peralatan hardware terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter.
"Terdapat dua mangsa masing-masing pemandu dan kelindan berada di dalam kenderaan terbabit,” katanya.
Menurutnya seorang mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan itu manakala seorang lagi mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba.
"Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan diberikan rawatan awal daripada anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.
Tambahnya operasi ditamatkan pada jam 6.55 petang kemudian.
utusanborneo.com.my/2022/02/11 |