![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220210/de8d4c43-0fc2-45c5-9d70-094d0a7b4a2d.jpeg)
PENCURI: Lelaki yang dikehendaki selepas memecah masuk sebuah rumah di Luyang dan melarikan jam tangan serta wang tunai penghuni.
KOTA KINABALU: Polis giat memburu seorang lelaki yang menceroboh masuk ke dalam sebuah rumah dan melarikan jam tangan serta wang tunai di Luyang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata suspek diburu selepas kegiatannya itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kira-kira jam 8 pagi.
“Semasa kejadian, pemilik rumah dan penghuni lain mendakwa berada di dalam tandas dan kejadian hanya disedari selepas mereka terdengar bunyi pintu yang ditendang.
“Penghuni rumah kemudiannya keluar untuk memeriksa keadaan rumah sebelum melihat seorang lelaki yang tidak dikenali berada di dalam rumah.
“Penghuni rumah juga sempat menegur suspek dan bertanyakan tujuan suspek berada di rumah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata suspek segera keluar dan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penghuni rumah.
“Hasil semakan terhadap rakaman CCTV mendapati suspek sempat meninjau sekitar kawasan rumah mangsa.
“Suspek kemudiannya dilihat menendang pintu rumah mangsa yang berkunci dan hasil pemeriksaan lanjut mangsa kehilangan sebuah jam tangan jenama terkenal dan wang tunai RM70,” katanya.
Mohd Zaidi berkata siasatan lanjut di tempat kejadian sedang dijalankan oleh pegawai penyiasat kes.
Beliau juga memohon kerjasama orang ramai yang mengenali suspek agar menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan atau menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan.
"Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222," katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/10 |