![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220209/whatsappimage2022-02-09at101636am.jpeg)
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
SRI AMAN: Seorang lelaki warganegara Myanmar yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari atas kapal di Sungai Seterap, Lingga pada Isnin lalu ditemui mati hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mayat Thein Wai Maung ditemui kira-kira 5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan jatuh.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung bersama pasukan penyelamat pada jam 7.30 pagi.
"Keadaan jasad mangsa ketika ditemui didapati dalam keadaan tidak sempurna, di mana kedua-dua tangan dan kepala mangsa hilang disyaki dibaham buaya," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang memasuki hari ketiga hari ini ditamatkan pada jam 9.10 pagi.
utusanborneo.com.my/2022/02/09 |