|
Yeong-su perahsia, terganggu diulit kemasyhuran
Oh Yeong-su kurang selesa perhatian diberikan disebabkan sudah biasa menjalani kehidupan sederhana selama 54 tahun bergelar anak seni.
KUALA LUMPUR: Popularitinya melonjak dalam sekelip mata selepas membintangi drama bersiri, Squid Game yang mencetuskan fenomena ketika ditayangkan di saluran Netflix, September tahun lalu.
Bagaimanapun, sebelum namanya menjadi sebutan seluruh dunia apabila karakter lelaki nyanyuk bernama Player 001 yang dilakonkannya, bintang veteran Korea Selatan, Oh Yeong-su terlebih dahulu dikenali sebagai pelakon teater.
Memulakan kerjaya seni dalam pentas teater ketika berusia 24 tahun, naskhah pertama aktor kelahiran Korea Selatan itu berjudul A Daytime Walk in the Park hanya menemui khalayak selepas setahun menceburi dunia pementasan teater.
Dalam satu temubual bersama stesen tempatan, Yeong-su mengakui, populariti mencanak diraih menerusi drama Squid Game membawa perubahan besar dalam hidupnya.
Paling ketara, katanya, dia semakin mendapat perhatian sehingga ada kalanya menimbulkan rasa kurang selesa disebabkan sudah biasa menjalani kehidupan sederhana selama 54 tahun bergelar anak seni.
"Jujurnya, perhatian diberikan kepada saya selepas membintangi drama Squid Game membuatkan saya rasa seolah-olah terapung di awangan.
"Selepas siri ini ditayangkan, ramai mula menghubungi untuk menawarkan saya berlakon dan muncul dalam iklan. Sejujurnya, amat sukar menjadi popular.
"Saya akui, sehingga saat ini, saya masih belum betah menerima perubahan terlalu drastik ini. Keadaan ini secara tidak langsung mengubah kehidupan normal yang dijalani selama ini.
"Sebagai contoh, jika saya mahu keluar, biarpun ke kafe sekalipun, saya terpaksa berhati-hati dari segi penampilan. Situasi ini membuatkan saya sedar betapa sukarnya hidup dalam kemasyhuran," luah lelaki berusia 78 tahun ini.
Menyedari kesan dilalui, Yeong-su berkata, dia berjaga-jaga agar emosinya tidak tenggelam bersama limpahan glamor yang baru dikecapi.
"Situasi ini mengajar saya mengamalkan sikap lebih bertenang, susun atur pemikiran dengan sebaiknya dan kawal diri agar tidak hanyut dengan populariti yang sementara," ungkapnya.
Karakter lelaki nyanyuk bernama Player 001 dalam drama bersiri, Squid Game melonjakkan populariti Oh Yeong-su hingga diangkat Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Golden Globe Ke-79.
Mengotakan apa yang dilafazkannya, lelaki yang bernaung di bawah zodiak Libra ini memaklumkan dirinya pernah menolak untuk membintangi iklan makanan segera popular hingga berita menjadi tajuk hangat di Korea Selatan.
"Saya enggan menerima tawaran iklan disebabkan tidak sesuai dengan imej dan perwatakan yang dilakonkan dalam drama Squid Game. Malah, saya menganggap buat duit menerusi iklan jelas bertentangan dengan prinsip hidup yang diperjuangkan selama ini," tegas Yeong-su.
Sepanjang pembabitan dalam dunia seni, pelakon veteran hebat ini begitu berahsia mengenai kehidupan peribadi walaupun ramai cuba mengorek keluarganya.
Apa yang diketahui, Yeong-su sudah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata lelaki. Kedua-dua anaknya turut mengikut jejaknya sebagai pelakon. Namun, butiran lanjut dan foto keluarganya tidak pernah didedahkan kepada sesiapa.
Sikap perahsia itu juga membuatkan Yeong-su tidak gemar memiliki media sosial. Bagaimanapun, atas tuntutan kerja dan peminat, pelakon filem God Of War secara rasminya membuka akaun Instagram (IG) atas nama @yeongsuoh pada Oktober tahun lalu.
Baru-baru ini, Yeong-su mencipta kejutan, bukan hanya dirinya, malah, peminat di Korea Selatan atas pencapaian hebat mengungguli trofi Pelakon Pembantu Terbaik bagi kategori televisyen (TV) pada Anugerah Golden Globe Ke-79 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Yeong-su menerima pengiktirafan selepas berjaya mencuri hati juri menerusi watak Oh 11 Nam atau Player 11 yang dilakonkannya dalam drama Squid Game.
Kemenangannya Yeong-su sekali gus mengenepikan saingan terdekatnya seperti Billy Crudup dan Mark Duplass menerusi Siri The Morning Show; Kieran Culkin (Succession) dan Brett Goldstein (Ted Lasso). - AGENSI
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|