CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1494|Reply: 0

[Sarawak] SK Kuala Kebulu, Bintulu masih seperti 40 tahun dahulu

[Copy link]
Post time 25-1-2022 01:22 PM | Show all posts |Read mode


Keadaan bangunan dan kemudahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kebulu, Jelalong, Tubau di Bintulu yang sangat daif dan usang, yang amat memerlukan tindakan segera kerajaan untuk dinaik taraf.

KUCHING: Sama seperti 40 tahun dahulu, begitulah keadaan yang dapat digambarkan bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kebulu, Jelalong, Tubau di Bintulu yang kini sangat daif dan usang.

Keadaan menyedihkan sekolah itu telah menarik perhatian Persatuan Pemikir Dayak Sarawak dan (DTTAS) Kongres Kebangsaan Dayak (DNC), yang menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil tindakan drastik dengan segera menaik taraf sekolah berkenaan.

“Kita berasa amat sedih melihat keadaan sekolah yang sangat daif wujud di pinggir bandar.

“Keadaan sekolah ini sama seperti 40 tahun dahulu tanpa ada perubahan,” kata Pengasas DTTAS Wellie Henry Majang dan Presiden DNC Paul Raja dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Bagaimanapun, mereka berkata walaupun keadaan dan kemudahan di SK Kuala Kebulu begitu ketinggalan tetapi gurunya tetap bersemangat untuk mengajar dan pelajar juga menunjukkan semangat belajar tinggi.


“Kita yakin jika kerajaan penyediakan prasarana yang lebih kondusif, mereka (guru dan pelajar) pasti dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan di sekolah ini,” katanya.

Justeru, Wellie dan Paul menggesa KPM agar meneliti semula senarai sekolah daif di Sarawak bagi memastikan infrastruktur dibaik pulih dengan segera.

Menurut mereka, pihaknya diberitahu bahawa kerajaan telah meluluskan 186 projek menaik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di Sarawak dengan kos berjumlah RM1.579 bilion bagi tahun 2019 sehingga tahun 2021 tetapi sehingga kini projek-projek itu nampak seperti tidak ada kemajuan ataupun terlalu lambat.

“Kami menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan juga keluhan daripada kakitangan yang bertugas di sekolah daif, banyak sekolah daif dan usang wajar diberi perhatian segera oleh kerajaan untuk dinaik taraf.

“Maka kami menggesa agar KPM mengutamakan sekolah daif di Sarawak yang kritikal perlu dibaikpulih dengan segera.

“Amat wajar bagi kerajaan menyediakan segala fasiliti, infrastruktur yang baik dan guru-guru berkualiti bagi memastikan mereka juga mampu mendapat pendidikan yang cemerlang, bukan sekadar akademik tetapi juga dalam pencapaian lain,” katanya.

Dalam pada itu, Wellie dan Paul turut mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengurus dan menyelia peruntukan sekolah daif, melibatkan wakil rakyat setempat supaya program libat urus berjalan mengikut masa ditetapkan.

Menurut mereka, keadaan kebanyakan sekolah rendah amat menyedihkan dan sukar untuk digambarkan, dengan atap kelas bocor dan dinding reput menunggu masa untuk runtuh.

Malah, katanya sekolah-sekolah terbabit masih lagi menggunakan generator sebagai bekalan elektrik utama.

Pada Rabu lalu, seorang pelajar perempuan berusia sembilan tahun dari SK Long Bemang, Apoh cedera selepas terjatuh daripada beranda sekolah yang berstruktur kayu.

Bagaimanapun, pelajar tahun tiga itu bernasib baik apabila hanya mengalami luka kecil di kepala, bahu dan tangan kanannya.

Difahamkan, pelajar terbabit dipercayai bersandar di papan penahan beranda sekolah itu sebelum ia roboh.

Sehubungan itu, Wellie dan Paul berharap supaya kejadian sama tidak berulang lagi kepada pelajar yang lain sehingga boleh mendatangkan kecederaan teruk atau berlaku kemalangan jiwa.





by Suaraswk
January 25, 2022
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

7-2-2025 02:53 PM GMT+8 , Processed in 0.187607 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list