PANTAU: Pasukan bomba memantau kawasan yang dinaiki banjir kilat.
SANDAKAN: Beberapa jalan utama di daerah ini tidak dapat dilalui kenderaan selepas dinaiki air banjir kilat akibat hujan, sejak pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya mendapat maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 6.17 pagi.
“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi di kawasan terlibat bagi memantau keadaan dan persediaan sekira perlunya pemindahan penduduk.
“Antara kawasan yang terlibat adalah Jalan Ulu Sibuga, Sundang Darat, Gum Gum Sri Mais Batu 16, Kampung Pertanian Garinono dan Gum Gum Besar,” katanya dalam kenyataan media, di sinihari ini.
Katanya, setakat ini, paras air di lokasi terlibat masih berada dalam keadaan terkawal dan tiada operasi pemindahan dilakukan.
“Pasukan bomba akan sentiasa membuat pemantauan secara berkala di kawasan-kawasan yang berisiko sekiranya hujan masih berterusan.
“Sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/20 |