Edited by Vellfire at 8-1-2022 02:12 PM
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220108/b376b2ce-0f6b-48d2-9100-268ca12aad6f.jpeg)
Tiada maklumat isteri kes import COVID-19 varian Omicron pertama dijangkiti
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (gambar) mengesahkan tiada maklumat jangkitan varian Omicron membabitkan isteri kepada kes import COVID-19 pertama yang dijangkiti varian terbabit di negeri ini.
“Buat masa ini tiada maklumat yang menunjukkan individu terbabit dijangkiti dan apa yang penting beliau sudah pulih daripada jangkitan COVID-19.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagaimanapun masih menjalankan pemeriksaan berterusan membabitkan semua individu termasuk kontak rapat kepada kes pertama itu,” katanya semasa ditemui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK2) di sini semalam.
Terdahulu, Sabah melaporkan satu kes import COVID-19 varian Omicron pertama yang dikenal pasti di daerah Tawau membabitkan seorang warga negara yang pulang dari menunaikan umrah di Arab Saudi pada 9 hingga 18 Disember lalu.
Sementara itu, Masidi berkata keadaan jangkitan membabitkan varian Omicron yang mencetuskan kluster OKK Awang Besar Saudi di Labuan dengan mencatat sehingga 18 kes itu perlu diberi tindak balas berdasarkan sains dan perubatan.
“Kita tidak perlu panik dengan keadaan itu dan ianya sesuatu yang perlu diambil iktibar serta penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat perlu dilaksanakan secara berkesan.
“Kita tidak tahu apa akan berlaku selepas ini dan seperti sedia maklum kesan varian omicron tidaklah seteruk varian lain tetapi ianya mempunyai kadar jangkitan lebih cepat berbanding varian lain,” katanya.
Masidi berkata, satu tindakan penguatkuasaan lebih berkesan perlu dilakukan dengan mengambil kira keadaan jangkitan di tempat lain termasuk jangkitan varian Omicron membabitkan rombongan umrah baru-baru ini.
Katanya, tindakan ini penting dilaksanakan walaupun kadang kala tidak disukai orang ramai kerana lebih baik mencegah dari mengubati untuk mengelakkan situasi lebih terik di masa hadapan.
Dalam pada itu, Masidi juga menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP terutama musim perayaan Tahun Baharu Cina akan datang.
“Sentiasa amalkan tindakan norma baharu walaupun anda suda menerima suntikan vaksin kerana statistik harian menunjukkan 70 peratus pesakit yang dijangkiti adalah dalam kalangan individu sudah divaksin,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/08
|