KUCHING: Seorang jurujual lelaki didenda RM1,000 atau dua minggu penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Michael Banyi, 20, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Perniagaan, Profession dan Perlesenan Perdagangan 1958.
Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda RM1,000.
Mengikut pertuduhan, lelaki dari Serian itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 6 Julai 2021, jam 3.20 petang di sebuah kedai di Jalan Tabuan Dayak, King Centre di sini.
Berdasarkan keterangan kes, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching membuat serbuan dan rampasan terhadap kegiatan perjudian dalam talian jenis mega888 di kedai tersebut.
Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap premis tersebut, pihak polis mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen perniagaan yang sah.
Sehubungan itu, beberapa barangan milik tertuduh seperti sebuah telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM30 turut dirampas sebagai bahan kes.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dilaporkan membayar denda tersebut.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
utusanborneo.com.my/2022/01/05 |