KUCHING: Akibat memiliki 0.02 gram Syabu, dua sekawan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali juga memerintahkan Ahmad Yusri Benjamin, 33, dan Sulaimi Mas Eyaw, 49, untuk dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.
Kedua-dua lelaki tersebut didakwa melakukan perbuatan terbabit pada 27 Oktober 2021, jam lebih kurang 11 pagi di sebuah rumah di Jalan Laruh, di sini.
Mengikut keterangan kes, kedua-dua tertuduh ditahan oleh pihak polis di dalam bilik bahagian bawah rumah semasa serbuan dilakukan terhadap premis tersebut pada hari kejadian.
Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bilik membawa kepada penemuan satu peket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan jernih kristal disyaki dadah jenis syabu diletakkan yang di atas tilam.
Kedua-dua tertuduh seterusnya didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta sama dan dibaca bersalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
utusanborneo.com.my/2022/01/05 |