Dr Sim menandantangani Surat Sumpah Pelantikan Jawatan pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Dan Menteri-Menteri Muda Kerajaan Negeri Sarawak di Dewan Lapau, DUN.
KUCHING:Sarawak akan menggunakan dana sendiri bagi membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang pertama seumpamanya di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata Sarawak tidak dapat menunggu lebih lama untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan dana bagi membangunkan pusat berkenaan memandangkan keperluan khidmat rawatan kanser amat tinggi di negeri ini.
Beliau berkata Ketua Menteri Datuk Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju menggunakan dahulu dana kerajaan negeri untuk membangunkan Pusat Kanser Sarawak dan kerajaan persekutuan akan membayar balik jumlah peruntukan digunakan bagi tujuan itu.
"Pusat atau Hospital Kanser Sarawak perlu mendapat pembiayaan KMM tetapi Ketua Menteri bersetuju untuk menggunakan dahulu dana kerajaan negeri untuk membangunkannya.
"(Keputusan ini) membolehkan rakyat Sarawak tidak menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan kanser. Rakyat kita sudah lama menderita...KL (Kuala Lumpur) akan membayar kita balik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Menteri) dan Menteri-Menteri Muda Negeri Sarawak di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) malam Selasa.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata dengan sumber kewangan negeri yang kukuh ketika ini usaha membina Pusat Kanser Sarawak akan menjadi kenyataan.
"Kalau kita melakukan semua ini bersama dan kekal bersatu, saya Sarawak mampu mencapai kejayaan cemerlang pada masa akan datang, setiap orang akan berasa bangga menjadi rakyat Sarawak," ujarnya.
Pada September lalu, Menteri Kesihatan Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata KKM akan menghantar cadangan penubuhan Pusat Kanser Sarawak kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk diluluskan.
KMM katanya akan berusaha untuk menyakinkan EPU untuk meluluskan cadangan penubuhan pusat kanser di Sarawak tersebut.
"Kita telah terima (cadangan) dan (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan) Dato Sri Dr Sim Kui Hian juga ada menyebut perkara ini. Jadi kita akan menghantar cadangan ini kepada EPU untuk mereka pertimbangkan.
"Kita harap kita dapat menyakinkan EPU untuk meluluskan pusat kanser untuk Sarawak seperti yang kita dan KKM sedia maklum Sarawak memang memerlukan pusat kanser ini," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke bangunan baharu Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Medan di sini.
Mengenai pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Menteri III, Dr Sim berkata ia menunjukkan kerajaan Sarawak khasnya mengamalkan konsep keterangkuman yang menyaksikan barisan Kabinet Negeri dianggotai wakil Dayak, Melayu dan Cina.
Sarawak katanya sedang melangkah ke hadapan dan dengan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS), 2030, kerajaan negeri berusaha meningkatkan pendapatan semua isi rumah dari RM5,000 kepada RM15,000.
"Jadi banyak yang perlu dilakukan, dan sudah tentu ini memerlukkan semua orang bekerjasama untuk mencapai sasaran ini.
"Perkara lain ialah dalam tempoh 10 tahun akan datang, di bawah PCDS 2030, sangat menarik kerana kita menuju ke tahap terbaik Sarawak. Kita tidak hanya akan menumpu kepada pembangunan infrastruktur yang belum dilaksanakan lagi, kita juga membangunkan sektor baharu seperti ekonomi digital dan sebagainya," tambah Dr Sim.
utusanborneo.com.my/2022/01/05 |