KUCHING: Persiapan menghadapi bencana banjir tetap diteruskan walaupun cuaca dalam keadaan baik, kata Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang.
Menurutnya meskipun cuaca belum menunjukkan tanda taburan hujan lebat namun kesiapsiagaan perlu diteruskan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Cuaca ketika ini baik berbanding ramalan Jabatan Jabatan Meterologi Malaysia, yang dijangka ribut petir dan hujan berterusan di barat Sarawak. “Namun, keadaan boleh berlaku sebaliknya pada bila-bila masa yang boleh memungkinkan bencana banjir berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Samarahan di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Daerah Samarahan baru-baru ini.
“Kita tidak boleh berasa selesa dengan keadaan masa ini sebaliknya perlu meneruskan usaha serta bersiap siaga menghadapi bencana banjir khasnya di Kota Samarahan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, simulasi menghadapi banjir dalam bentuk latihan dan pendedahan kepada wakil komuniti khususnya kepada ketua masyarakat dan ketua kaum sangat penting. “Ia untuk memastikan usaha membantu dan menyelamat mangsa banjir dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Beliau menyatakan simulasi tersebut telah pun dilaksanakan oleh ketua masyarakat dan ketua kaum serta wakil komuniti di Kota Samarahan. “Ia termasuklah agensi penyelamat seperti bomba, polis, pertahanan awam dan beberapa lagi agensi lain,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar semua pihak kekal dalam fasa berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana banjir.
“Kita perlu mengambil iktibar daripada bencana banjir yang berlaku di Semenanjung Malaysia khasnya di kawasan ibu kota Kuala Lumpur dan Selangor yang rata-ratanya tidak menjangka akan berlakunya bencana banjir dalam skala yang memusnahkan itu,” tegasnya.
sarawakvoice.com/2022/01/04 |