TINJAU: Jaochim ketika meninjau keadaan tanah runtuh yang berlaku.
RANAU: Semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Ketua Kampung agar segera melaporkan kejadian banjir atau tanah runtuh kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Ranau untuk tindakan susulan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim membuat seruan selepas mendengar satu taklimat mengenai tindakan yang telah diambil dan kawasan yang terlibat dengan bencana yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Samsir hari ini.
Dalam taklimat berkenaan juga, Joachim dimaklumkan bahawa Daerah Ranau banyak mengalami kerosakan infrastruktur iaitu jalan raya terputus, tanah runtuh dan jambatan gantung terputus.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua usaha yang dilakukan oleh semua agensi kerajaan yang terdiri daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Ranau, Jabatan Kebajikan, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta semua yang terlibat dengan PKOB Ranau yang diketuai oleh Syahrin.
Joachim difahamkan pejabat PKOB Daerah Ranau ada menerima laporan palsu dan tidak sahih.
“Oleh itu, saya berharap orang ramai tidak berbuat demikian kerana ia akan menganggu kelancaran kerja pihak berkuasa,” katanya.
Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang turut menyumbangkan sedikit sumbangan bagi menampung keperluan para petugas PKOB.
Pada Ahad, terdapat beberapa kawasan dalam DUN Kundasang yang terbabit dengan kejadian tanah runtuh, jalan terputus dan banyak rumah kediaman penduduk musnah akibat banjir.
Antara jalan yang terjejas ialah Jalan Malinsau-Kaingaran, Jalan Tibabar-Lobou Kenip, Jalan Tumbalang, Jalan Takutan- Perancangan, Jalan Kawiyan dan Jalan Kundasang-Ranau.
utusanborneo.com.my/2022/01/04 |