KUCHING: Aktiviti di kelab malam atau pub masih disenaraikan sebagai aktiviti yang tidak dibenarkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Sarawak yang dikemas kini pada 3 Januari 2022.
Turut tidak dibenarkan, pusat hiburan lain yang tidak memenuhi syarat lesen yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Dalam perkembangan sama, beberapa aktiviti-aktiviti lain turut disenarai dalam Senarai Aktiviti Yang Tidak Dibenarkan, antaranya adalah aktiviti massa secara terbuka yang melibatkan pergerakan dan perkumpulan ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal dalam satu-satu masa.
Ia seperti fun run, fun ride, triathlondan sebagainya tanpa kelulusan Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (KBSS).
Sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan juga tidak dibenarkan.
Ia juga termasuk lain-lain aktiviti ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, SOP Fasa 4 PPN Sarawak menyatakan aktiviti sukan yang tidak bersentuhan (non-contact sports) serta sukan bersentuhan kategori individu dan berpasukan bagi tujuan aktiviti latihan, permainan, perlawanan dan kejohanan adalah dibenarkan.
Ia bagaimanapun terhad kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap COVID-19, tertakluk kepada kelulusan KBSS serta dimaklumkan kepada JPBNS.
Selain itu, penganjuran kejohanan atau pertandingan tempatan dan antarabangsa bagi sukan tidak bersentuhan (non-contact sports) adalah dibenarkan tertakluk kepada kelulusan KBSS.
Penganjuran adalah secara kuarantin (Quarantine Based).
Sementara itu, kebenaran kemasukan peserta atau pegawai luar negara ke Malaysia tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia dengan surat sokongan KBSS dan dimaklumkan kepada JPBN Sarawak.
Penganjuran kejohanan, pertandingan, sukan massa adalah dibenarkan tertakluk kepada kelulusan KBSS.
Ia bagaimanapun hanya terhad kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap COVID-19 dengan penyertaan tidak melebihi 350 orang dalam satu-satu masa. Penganjuran adalah seperti triathlon, open water swimming, marathon,trail run, obstacle run, dan seumpamanya.
Malah, kehadiran penonton atau penyokong ke tempat sukan dan rekreasi tertakhluk kepada 50 peratis kapasiti kawasan atau tempat duduk atau 20,000 orang (yang mana lebih rendah).
Ia juga terhad kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap COVID-19 sahaja termasuk anak-anak yang telah menerima vaksinasi lengkap.
Walau bagaimanapun, anak-anak dibawah umur 18 tahun yang belum melengkapkan atau menerima vaksinasi lengkap tidak dibenarkan masuk.
utusanborneo.com.my/2022/01/04 |