![](https://sarawakvoice.com/wp-content/uploads/2021/06/corona-5401250_640-630x420.jpg)
KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan besar gelombang varian Omicron akan bermula di Malaysia.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin di ciapan Twitternya, susulan daripada jangkaan itu beberapa langkah perlu segera diambil untuk memperlahankan penularan varian Omicron yang berasal dari Afrika Selatan itu.
“Antaranya, liputan dos penggalak yang luas pemakaian pelitup muka, pengudaraan yang baik, langkah menguji, melapor dan mengasingkan, MySJ Trace termasuk mengawal pintu masuk antarabangsa.
“Ia langkah awal memperlahankan penularan Omicron,” katanya.
Ujar beliau lagi, langkah ini termasuk juga penangguhkan perjalanan umrah berkuat kuasa 8 Januari ini.
Tambah Khairy lagi, langkah awal ini harus diambil bagi memperlahankan penularan varian Omicron yang dipercayai mampu menganggu sistem kesihatan awam menjadi lumpuh.
“Ada yang data berpendapat, varian Omicron tidak separah Delta namun yang ditakuti apabila kebolehjangkitan Omicron lebih tinggi daripada Delta.
“Jika jangkitan berlaku lebih kerap, sudah pasti kemasukan hospital atau Unit Rawatan Rapi turut meningkat,” ujarnya lagi.
Sehingga Ahad, jumlah keseluruhan varian Omicron di negara ini adalah sebanyak 64 kes, dengan 63 kes daripadanya membabitkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.
sarawakvoice.com/2022/01/03 |