TERBAKAR: Lori berkenaan berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba daripada musnah keseluruhannya.
SANDAKAN: Seorang pemandu lori mengalami detik cemas selepas lori yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Batu Sapi, di sini tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.53 tengah malam.
Katanya, susulan itu, seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam.
“Sebaik tiba, lori berkenaan sudah terbakar hampir keseluruhan dan operasi memadam terus dilakukan menggunakan dua aliran dari jentera.
“Operasi dapat dikawal pada jam 6.34 pagi dan lori berkenaan terbakar 40 peratus di bahagian hadapan,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan tersebut selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.45 pagi.
“Setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca serta anggaran kerugian mangsa,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/03 |