CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 621|Reply: 0

[Negeri Sembilan] Cuaca buruk: Nelayan dinasihat tangguh aktiviti laut

[Copy link]
Post time 3-1-2022 11:13 AM | Show all posts |Read mode

Keadaan laut ketika ini berbahaya kepada bot-bot kecil berikutan hujan lebat dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter. - Foto fail Bernama

SEREMBAN - Komuniti maritim terutama nelayan dan pengunjung pantai peranginan dinasihatkan berwaspada dan menangguhkan dahulu aktiviti melibatkan perairan susulan cuaca buruk di Negeri Sembilan dan kebanyakan negeri ketika ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, ini kerana perairan negeri ini diramalkan berlaku air pasang besar dengan tiupan angin Monsun Timur Laut yang lebih kuat sehingga Rabu (5 Januari).

Menurut beliau, keadaan laut ketika ini juga adalah berbahaya kepada bot-bot kecil berikutan hujan lebat dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter.

“Kebanyakan nelayan yang berdaftar di negeri ini adalah nelayan Kelas A yang menggunakan bot kecil untuk menangkap ikan. Dengan cuaca yang buruk pada masa sekarang, ada kemungkinan bot mudah terbalik apabila dibadai ribut dan ombak yang kuat.

“Bagaimanapun, sekiranya masih perlu ke laut, mereka harus sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan dengan memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca terlebih dahulu serta memastikan bot dalam keadaan selamat,” katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

Jelasnya, mereka juga perlu membawa Peranti Pengesan Peribadi yang membantu mempercepatkan bantuan di laut jika berlaku sebarang kecemasan selain menghubungi talian Pusat Operasi Maritim 06-3876 730 atau 999 yang beroperasi 24 jam.

Haris Fadzillah memberitahu, Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan sentiasa memantau keselamatan komuniti maritim di laut dengan melakukan rondaan di sekitar perairan, pantai rekreasi serta di jeti awam sekitar Negeri Sembilan.

Sejak 25 Disember lepas, bot peronda digerakkan setiap hari bagi memantau keadaan perairan Melaka dan Negeri Sembilan serta melaksanakan program ‘Preventif SAR’ dalam memastikan keselamatan orang awam ketika menjalankan aktiviti di laut, katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya, buruk dan waspada yang dijangka berlaku di kebanyakan negeri sehingga Selasa (4 Januari) membabitkan Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sementara itu, pegawai perikanan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) Doreen Wee Siew Leen berkata, nelayan masih ke laut untuk menangkap ikan namun hanya melibatkan zon pesisiran pantai dan menasihatkan sejumlah hampir 500 nelayan di negeri itu agar sentiasa berjaga-jaga ketika melakukan aktiviti di laut. - Bernama
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... ngguh-aktiviti-laut
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-11-2024 12:36 PM GMT+8 , Processed in 0.599923 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list