|
Lagu Faizal Tahir dinyanyikan artis popular China, Hong Kong
Oleh HANISAH SELAMAT
29 Disember 2021, 2:43 pm
PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir teruja apabila lagu ciptaannya, X Missing You diadaptasi dalam versi Mandarin nyanyian artis terkenal China dan Hong Kong, G.E.M yang diberi judul I’ll Be Missing You.
Kolaborasi antara kedua pihak iaitu Faithful Publishing selaku penerbit dengan pihak G.E.M membuktikan lagu nyanyian asal Faizal bersama Dayang Nurfaizah, Tuju dan Yonnyboii punya kualiti tersendiri.
Menurut Faizal yang menghasilkan lagu itu bersama Ja’a, Mage, Mike Chan, Tuju dan Yonnyboii, mereka tidak pernah menjangkakan karya tersebut diadaptasi dan dinyanyikan bintang antarabangsa.
“Alhamdulillah, sebagai seorang komposer dan penerbit sudah semestinya kita mahu pendengar menerima lagu kita dengan baik. Tapi untuk dinyanyikan oleh penyanyi dari luar negara bukan sesuatu yang saya jangkakan.
“Jadi sudah semestinya saya menerima dengan baik dan teruja dengan tawaran ini dari mulan ia dimaklumkan. Lebih-lebih lagi jika ia mampu membuka pintu dan ruang untuk pengkarya tempatan seperti saya berkongsi idea serta bekerjasama dengan artis luar.
“Sekaligus secara tidak langsung dapat menaikkan peluang komposer atau penerbit lain di Malaysia untuk turut melakukan sedemikian,” katanya.
Berkongsi mengenai keunikan lagu X Missing U sehingga berjaya dibawa ke pasaran antarabangsa, Faizal berkata ia terletak pada gabungan empat vokal dan karakter yang berbeza dalam mempersembahkan lagu ini.
“Melalui nyanyian Dayang Nurfaizah, Yonnyboi, Tuju dan saya sendiri, bagi saya ini adalah kekuatan dan keunikan lagu ini. Setiap penyanyi membawa karakter tersendiri yang sangat unik dengan penyampaian terbaik.
“Saya berpendapat itulah yang menjadi daya penarik perhatian terhadap dendangan ini sehingga ada artis luar yang berminat untuk menyanyikannya,” katanya lagi.
Sementara itu, kerjasama kedua-dua pihak ini dilihat sebagai pembuka jalan untuk Faithful Publishing meningkatkan eksport lagu ke luar negara seterusnya memperkenalkan lagi kekuatan dan ciptaan lagu anak seni tanah air.
Pengarah Penerbitan Faithful Publishing, Karim Karam berkata, adaptasi lagu X Missing You kepada I’ll Be Missing You nyanyian G.E.M adalah satu pencapaian serta penghargaan buat pencipta tempatan.
“Proses rundingan ini mengambil masa lima bulan. Apabila ia berhasil, perkara ini dilihat mampu meningkatkan nilai eksport lagu tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Ini adalah langkah kecil yang pertama dalam usaha Faithful Publishing untuk meningkatkan eksport lagu tempatan ke pasaran antarabangsa.
“Dalam dunia digital hari ini, pencipta lagu dan syarikat penerbitan harus mempunyai pandangan yang lebih luas dan karya ciptaan mereka mampu untuk bersaing di peringkat global,” katanya.
I’ll Be Missing You nyanyian G.E.M yang baharu saja dilancarkan sudah berada pada kedudukan ke-tiga lagu baharu di China, tersenarai dalam playlist Music 163 China yang mempunyai 2.4 billion strim dan berada di kedudukan #3 carta trending YouTube di Taiwan dan #18 di Hong Kong.
G.E.M atau nama sebenarnya Gloria Tang Tsz-kei adalah menjadi artis wanita paling laris di China dan Hong Kong selain penyanyi Mandopop wanita pertama yang mencapai 100 juta tontonan di YouTube dengan tiga video muzik .
Penyanyi inj juga menjadi satu-satunya bintang pop China dalam senarai BBC 100 Women dan Forbes 30 under 30. – K! ONLINE
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|