MIRI: Seramai 124 pelajar sekolah menengah dan rendah serta 9 mahasiswa, dan 129 ibu tunggal menerima bantuan barang keperluan sekolah, wang tunai dan beras dalam Program Kembali Ke Sekolah 2021.
Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, ibu tunggal digalakkan menyertai persatuan atau kelab bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka.
“Dengan menyertai persatuan dan kelab, membolehkan golongan ini mendapat bantuan sewajarnya termasuk menjalin hubungan rapat dengan kerajaan bagi mendapat pelbagai peluang dari segi bantuan yang sesuai.
“Apabila berada dalam persatuan, mereka boleh menyalur sebarang masalah kepada persatuan seterusnya mencari jalan penyelesaian termasuk memohon bantuan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Kembali Ke Sekolah 2021 anjuran Kelab Sosial dan Kebajikan Harmoni Miri pada Ahad.
Tambah Dato’ Sri Lee lagi, ibu tunggal digesa terus mendidik anak-anak mereka dengan pendidikan sempurna bagi memastikan masa depan lebih cerah.
“Jangan disebabkan keadaan ekonomi tidak menentu, ibu tunggal tidak menghantar anak ke sekolah.
“Sebaliknya, mereka harus menyedari hanya melalui pendidikan mampu mengubah nasib serta masa depan mereka,” tambahnya. -EDISI UKAS
sarawakvoice.com/2021/12/26 |