RASMI: Nancy (tengah) menyempurnakan gimik perasmian program berkenaan.
RANAU: Sebanyak tujuh persatuan penggiat seni budaya di Kundasang menerima bantuan akibat terjejas sepanjang tempoh COVID-19.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, satu galeri kumpulan penggiat seni budaya di Kundasang juga menerima bantuan yang sama.
"Insentif seni berbentuk dana berjumlah RM5,000 untuk setiap persatuan ini melibatkan sejumlah keseluruhan RM40,000 bagi membangunkan kembali produk seni.
"Saya mengharapkan insentif ini dapat membantu para penerima untuk bangkit semula menjalankan aktiviti seni budaya seperti menambah baik peralatan muzik, busana tradisional dan sebagainya," katanya selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, pihaknya faham bahawa ramai penggiat seni dan Badan Bukan Kerajaan seni budaya terkesan akibat pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, beliau berkata program seumpamanya mampu menyemarakkan semula aktiviti seni budaya dengan memaparkan kepelbagaian produk seni budaya setempat, sekali gus memacu semula pembangunan ekonomi negara.
Pada majlis berkenaan, Nancy turut melancarkan Homestay baharu di Kundasang iaitu, Homestay Kampung Stay dibawah pengurusan Walai Tokou Homestay.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri II merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin serta tetamu kehormat yang lain.
utusanborneo.com.my/2021/12/26 |