Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas kemalangan.
BINTULU: Seorang pemuda terkorban apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dipercayai hilang kawalan sehingga terlanggar sebatang pokok berdekatan Kelab Kidurong Bintulu di Jalan Tanjung Kidurong menghala ke pusat bandar Bintulu pada malam Sabtu.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Jostine Endy Minggu, 22, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.16 malam dan bergegas ke lokasi kejadian dengan mendapati sebuah kereta terlanggar sebatang pokok.
"Mangsa didapati tersepit di tempat duduk penumpang (bahagian hadapan)," ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa dari dalam kereta terbabit.
Tambahnya, mangsa berjaya dikeluarkan kemudiannya diperiksa oleh paramedik Kementerian Kesihatam Malaysia (KKM) yang turut berada ke tempat kejadian dan disahkan telah meninggal dunia.Katanya, kes terbabit diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
utusanborneo.com.my/2021/12/26 |