SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Dato Sri Tiong King Sing (gambar) meminta sistem perparitan dan saliran khususnya di Dudong dinaik taraf, selain menjalankan kajian bagi mengatasi banjir yang kerap berlaku.
Tiong berkata, keadaan paras air yang semakin meningkat di banyak tempat di Dudong telah lama membebani penduduk kerana tidak ditangani dengan baik.
Katanya, keadaan itu memburukkan lagi nasib penduduk apabila musim tengkujuh.
"Bagi menangani perkara ini dengan segera, saya telah mengadakan mesyuarat khas dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu pada Rabu untuk memutuskan rancangan menaik taraf dan menyelenggara sistem perparitan di seluruh kawasan.
"JKR akan menyegerakan perkara ini dan kita akan mendapatkan dana yang diperlukan daripada YAB Ketua Menteri. Kita perlu melaksanakan pelan ini dalam masa yang sesingkat mungkin untuk menyelesaikan masalah banjir kilat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tiong, beliau juga telah berulang kali mengingatkan bahawa banyak bahagian dasar sungai mempunyai paras kelodak yang tinggi, menghalang air hujan daripada mengalir lancar di sepanjang Sungai Rajang ke Sarikei dan Tanjung Manis.
"Itulah sebabnya kerja-kerja mengorek dasar sungai adalah penting.
"Dalam mesyuarat, saya telah menunjukkan lokasi yang paling terjejas akibat banjir berdasarkan maklumat yang diterima semasa lawatan ke rumah panjang. Agensi kerajaan berkaitan harus segera membentuk pelan keseluruhan kawalan air dan tebatan banjir untuk 'zon merah' untuk mencari penyelesaian terbaik," tegas beliau.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, keadaan jalan, sungai dan longkang yang tidak diselenggara dengan sempurna telah menyebabkan banyak bahagian jalan telah terhakis oleh air hujan sehingga menyebabkannya berlubang
Tiong seterusnya menggesa JKR supaya mempertimbangkan dengan teliti untuk menaik taraf parit lumpur (parit asal) kepada parit konkrit untuk kawalan banjir yang lebih sempurna.
Selain itu, jadual pembersihan dan penyelenggaraan mesti dipatuhi dengan ketat supaya sistem saliran banjir dapat digunakan dalam jangka masa yang lama.
Tiong dalam kenyataan sama turut meminta jabatan-jabatan berkaitan mengemukakan senarai unit yang bertanggungjawab bagi setiap kawasan selain turut mengesyorkan agar jabatan memohon lebih banyak peruntukkan bagi meningkatkan kekerapan kerja-kerja penyelenggaraan kepada sekurang-kurangnya dua bulan sekali bagi mengelak banjir.
"Lima bahagian jalan utama yang sering dinaiki air banjir sejak bertahun-tahun yang lalu ialah Jalan Kong Yit Khim, Jalan Pulau Dudong, Jalan Sg Assan, Jalan Kanowit Penyulau, dan Jalan Salim (jalan menuju ke Lapangan Terbang Sibu).
"Bahagian jalan ini tidak dinaik taraf seperti yang dirancang dan secara perlahan-lahankehilangan kapasiti pelepasan banjir. Apabila musim hujan tiba atau paras air naik, sistem saliran tidak berfungsi dengan sempurna sekaligus mengakibatkan paras air naik sehingga mencecah paras lutut," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/23 |