Edited by Vellfire at 22-12-2021 09:51 AM
DALAT: Penduduk yang berada di kawasan berisiko banjir di Sarawak diingatkan untuk sentiasa berwaspada dalam tempoh ini ekoran musim banjir diramalkan akan berlaku pada bila-bila masa.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi termasuk menyimpan semua dokumen penting.
“Simpan semua dokumen penting ini di satu tempat selamat agar senang untuk dibawa sewaktu berpindah sekiranya berlaku banjir.
“Selain itu, patuhilah arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah,” katanya kepada Suara Sarawak.
Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) perlu sentiasa dipatuhi apabila berada di pusat pemindahan banjir demi keselamatan diri dan keluarga.
Dalam pada itu melihat kepada bencana banjir di Semenanjung, Fatimah berharap agar bantuan yang sewajarnya daripada pihak berkaitan dapat dihulurkan dengan kadar segera kepada mangsa terkesan.
|