202 kes, satu kluster baharu direkodkan di Sabah
KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu COVID-19 di Sabah terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 46 kes berbanding semalam menjadikan jumlah kes hari ini sebanyak 202 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sebanyak 13 daerah mencatatkan peningkatan kes baharu dengan tiga daerah menunjukkan peningkatan ketara iaitu Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau.
Katanya, tujuh daerah mencatatkan penurunan kes yang didahului oleh Penampang, manakala tujuh lagi daerah kekal sebagaimana catatan semalam.
"Kota Kinabalu merekodkan kes baharu tertinggi dengan 43 kes, diikuti oleh Tuaran dengan 31 kes, Ranau 17 kes, Sandakan 17 kes, Kota Belud 15 kes, dan Beaufort 10 kes. "Sebanyak 17 daerah lain merekodkan kes pada kadar satu angka sahaja sementara empat daerah tidak mencatat sebarang kes baharu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu jelasnya, terdapat satu kluster baharu di Sandakan iaitu kluster import, Kluster Millenium Saudi melibatkan seorang lelaki (kes indeks) yang baharu kembali dari ibadah umrah.
Beliau berkata, saringan PCR dibuat di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setibanya kes indeks dari Arab Saudi, sebelum menyambung penerbangan domestik ke Sandakan.
"Beliau seterusnya menjalani kuarantin wajib di rumah di Sandakan dan dimaklumkan keputusan saringan PCR (positif) pada 17 Disember 2021. Saringan yang dibuat dalam kalangan ahli rombongan umrah dan kontak rapat mendapati 10 orang lagi dijangkiti.
"Tindakan rawatan yang sesuai turut diambil ke atas semua yang terlibat," katanya.
Masidi berkata, seramai 197 orang daripada 202 pesakit baharu hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, manakala satu kes dalam kategori tiga, dua kes dalam kategori empat dan seorang dalam kategori lima, serta satu kes masih dalam penilaian.
utusanborneo.com.my/2021/12/22
|