KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menangguhkan semua kuliah bermula esok hingga 29 Disember susulan kejadian banjir kilat luar biasa yang melanda beberapa buah negeri.
Naib Canselornya Datuk Mohamad Kadim Suaidi berkata, perlepasan khas tersebut diberikan sebagai tempoh bertenang kepada pelajar-pelajar yang terkesan.
“Justeru, pengurusan tertinggi Unimas telah menyediakan beberapa inisiatif seperti setiap pelajar yang terkesan haruslah memaklumkan kepada pensyarah atau Dekan Fakulti masing-masing.
“Selain itu, sepanjang tempoh penangguhan tersebut, tiada sebarang aktiviti kuliah, tutorial, pentaksiran dan penghantaran tugas dilaksanakan. “Penggantian pembelajaran dan penilaian adalah daripada segerak kepada tidak segerak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, penghantaran tugasan atau penilaian berterusan juga dilanjutkan untuk tempoh satu minggu bermula dari tarikh yang ditetapkan sebelum ini.
“Kita mendoakan agar semua pelajar yang terlibat ini dipermudahkan segala urusan, diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian serta dilindungi daripada sebarang musinah,” katanya lagi.
by suaraswk
December 21, 2021 |