COVID-19: Sarawak rekod 41 kes baharu dengan satu kematian
KUCHING: Sarawak merekodkan 41 kes baharu COVID-19 hari ini dan satu kematian direkodkan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata dengan kes baharu itu, menjadikan keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 251,967.
Menurutnya, 12 daripada 41 kes baharu adalah kategori satu, 28 terdiri daripada kategori dua, tiada kes bagi kategori tiga dan kategori empat sementara hanya satu kes bagi kategori lima.
Selain itu, hanya 11 daerah merekodkan kes harian baharu dengan Miri tertinggi iaitu 16 kes diikuti dengan Kuching (10).
Sementara Samarahan dan Serian masing-masing tiga kes, Sibu dan Lundu (2) dan Bintulu, Limbang, Meradong, Subis dan Telang Usan masing-masing satu kes.
JPBNS dalam pada itu memaklumkan satu kematian direkodkan pada hari ini.
Kes melibatkan wanita berusia 53 tahun disahkan meninggal di Hospital Umum Sarawak dan kes mempunyai latar belakang penyakit komorbid.
Menurut JPBNS juga, tiada kluster baharu diisytiharkan serta tiada lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
utusanborneo.com.my/2021/12/18 |