PRIHATIN: Josephine (empat kanan) menyerahkan bantuan kepada Sister Clarice (tiga kanan) di Gereja St Pius Bundu Tuhan, Ranau.
KOTA KINABALU: Untuk tahun kedua berturut-turut the Society of Hope Sabah kembali membawa kemeriahan sambutan Krismas kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dan keluarga B40 di pelbagai lokasi di Sabah.
Presidennya Josephine Hadikusumo bersama pasukan yang terdiri daripada lapan sukarelawan telah mengedarkan 2,000 bungkus susu tepung kepada 1,000 orang kanak-kanak, 1,100 bungkus minuman susu kacang, 2,675 unit pelitup muka kanak-kanak dan 134 kotak pensel kepada murid-murid bersekolah di 20 lokasi dalam tempoh lima hari.
Beliau berterima kasih kepada syarikat F&N atas sumbangan ikhlas minuman susu kacang dan kotak pensel.
Josephine berkata, bantuan makanan yang diedarkan itu merangkumi kawasan gereja di pedalaman, perkampungan dan sekolah rendah.
Katanya, pasukannya telah menjelajah sehingga Bundu Tuhan Ranau dan Tulid di Sook Keningau. Selain itu, mereka juga sampai sehingga Kampung Sodomon yang terletak 200 kilometer dari ibu negeri.
TERIMA: Mohamad Rozzali (dua kiri) menerima bantuan daripada Josephine.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sinulihan Tamparuli Mohamad Rozzali Rambangan menerima 22 kotak pelitup muka dan kotak pensel untuk kegunaan 22 orang murid dari darjah satu sehingga lima.
Sementara itu, Sister Clarice turut berterima kasih kepada Josephine kerana memberikan bantuan peribadi dan minuman susu kepada Gereja St Pius Bundu Tuhan.
Ketua Kg Sodomon Megasin Radius berkata, penduduk kampung sangat berterima kasih kepada persatuan itu yang berusaha mencapai kepada mereka untuk menyampaikan bantuan susu tepung. Ia sudah pasti akan memberikan kelegaan kepada keluarga miskin yang sangat memerlukan.
"Adalah sangat mencabar untuk pelawat mengunjungi ke Tulid kerana jarak dari Kota Kinabalu ke Keningau adalah sejauh 126 kilometer.
"Dari Keningau, sejauh 39 km lagi perjalanan perlu diharungi untuk sampai ke Sook kemudian 36 km lagi untuk sampai ke Tulid," katanya.
Antara gereja pedalaman yang turut mendapat bantuan ialah St Theresa Church (Kolopis, Penampang), Assumption Church (Sugud, Penampang), St Benedict Chapel (Timpangoh Laut Sugud, Penampang), Basel Church (Kg Giling, Telipok), SDA Church (Kg Daingin, Ulu Kimanis in Papar), SDA Church (Kg Kapa, Tamparuli), St Valentine Church (Kg Himbaan, Bundu Tuhan) dan St Bruno Chapel (Kg Toboh Lama, Bundu Tuhan).
"Perjalanan agak mencabar tetapi kami berjaya menjayakan misi ini dengan selamat selain mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
"Keutamaan kami adalah sentiasa seimbang dengan misi murni ini. Kita masih belum selamat daripada pandemik, bagaimanapun pematuhan SOP sangat penting agar kita mampu teruskan usaha menyampaikan bantuan kepada mereka memerlukan," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/18
|