MUKAH: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Rakyat Selasa lalu menjadikan Sarawak secara sah mempunyai hak autonomi dan setaraf kedudukannya dengan Semenanjung Malaysia.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau bersyukur kerana semua pindaan tersebut telah diluluskan termasuk Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang turut dimasukkan dalam perlembagaan tersebut.
“Kita tidak lagi dianggap menumpang, kita sama-sama berhak dengan mereka di Semenanjung,” katanya dalam Majlis Pemimpin bersama Rakyat di sini, petang tadi. Tambah beliau, apabila melibatkan hal autonomi, masyarakat perlu ambil peduli bagi melihat kepentingan Sarawak di dalam Malaysia.
“Kita perjuangkan satu demi satu hak autonomi ini sehingga saya menjadi Ketua Menteri malah kita mahu mengiktiraf hak Sarawak dan perlembagaan ini dipinda iaitu Perkara 1 Perlembagaan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-negeri Persekutuan.
“Kerajaan Sarawak termasuk Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib juga mahu dalam pindaan juga dicadang Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963,” katanya lagi.
sarawakvoice.com/2021/12/17
|