SIMBOLIK: Nizam menyiram kanak-kanak yang mahu berkhatan sebagai simbolik program.
TAWAU: Seramai 120 kanak-kanak di daerah ini menyertai upacara berkhatan beramai-ramai dalam program kemasyarakatan badan bukan kerajaan (NGO) dan polis bersama rakyat 2021.
Program itu adalah cetusan idea Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anugerah Kasih Malaysia (PERKASIH), Ismail Awang bersama NGO lain.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata inisiatif menganjurkan upacara berkhatan secara percuma ini adalah usaha yang sangat terpuji dan perlu diberikan sokongan.
“Program ini dilihat dapat membantu meringankan beban masyarakat terutamanya yang kurang berkemampuan lebih-lebih lagi dengan situasi berlakunya pandemik COVID-19 di negara kita.
“Kita sedia maklum, biaya berkhatan di klinik swasta sangat tinggi dan pastinya cukup membebankan bagi mereka yang masih bergelut mencari sumber pendapatan keluarga ketika ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai secara percuma di Masjid Raya, di sini semalam.
Katanya, NGO lain yang mempunyai kelebihan dan kemampuan perlu menjalankan program berkhatan secara percuma bagi membantu golongan asnaf, muallaf dan kurang berkemampuan.
“Saya juga menyeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk bersama-sama membantu NGO menggerakkan aktiviti seperti ini.
“Kerajaan negeri juga akan sentiasa membantu setiap program yang dianjurkan oleh mana-mana pihak terutamanya dalam memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
CENDERAKENANGAN: Ismail (tiga kanan) menyampaikan cenderakenangan kepada Nizam.
Sementara itu, Ismail berkata program berkhatan secara percuma ini adalah kali kedua dilaksanakan pihaknya.
“Sebelum ini, kami telah laksanakan pada tahun 2018 lalu dan disebabkan berlakunya penularan pandemik COVID-19 menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan selama dua tahun.
“Sasaran utama program ini adalah keluarga yang kurang berkemampuan yang terdiri dalam golongan asnaf dan muallaf,” katanya.
Menurutnya, sasaran awal adalah 100 orang, namun permintaan yang terlalu banyak menyebabkan penganjur menambah sedikit menjadi seramai 120 orang.
“Harapan kami, pada masa akan datang dapat menganjurkan dalam kapasiti yang lebih banyak dan diadakan di kawasan pendalaman.
“Saya juga berharap dengan adanya sokongan ADUN Apas dan wakil rakyat lain, ia dapat dilaksanakan secara besar-besaran,” katanya.
Turut berkolaboratif, Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Tawau, Intelmedic, Persatuan Kebajikan Bantu Ummah dan Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.
utusanborneo.com.my/2021/12/17
|