Abang Johari (duduk tengah) merakamkan gambar bersama yang lain selesai pelancaran Pantu sebagai Daerah. - Gambar PENERANGAN
PANTU: Cadangan penubuhan syarikat telekomunikasi sendiri bukan satu pembaziran, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sebaliknya menurut Abang Johari, ia penting bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi digital Sarawak sehingga tahun 2030.
“Internet adalah penting bagi rakyat pada masa ini sama seperti jalan raya untuk menghubungkan rakyat. Kita ada menara telekomunikasi tetapi tidak ada operator. Sebab itu Kerajaan Sarawak akan menubuhkan satu sistem dimana kita boleh pasang piring kita sendiri oleh orang Sarawak.
“Telco lain mahukan keuntungan sahaja dan kalau tidak banyak pendapatan mereka tidak mahu datang. Jadi kita perlu ada syarikat sendiri,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Pantu Sebagai Daerah di Dewan Sri Pantu di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, penyandang yang juga calon GPS bagi kerusi Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan,Residen Bahagian Sri Aman Datu Indit Bangai dan Pegawai Daerah Sri Aman Asree Wee.
Mengenai penarafan Pantu sebagai daerah penuh, Abang Johari berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memberi pembangunan di kawasan luar bandar. Katanya untuk memberi pembangunan di luar bandar, strukturnya mesti tersusun, pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan mesti lengkap.
“Pantu bukan lagi Pantu yang dahulu, ini adalah Pantu dalam era digital, sebab itu kita naiktaraf daerah kecil ini kepada daerah penuh. Saya ucap tahniah kepada orang Pantu kerana dapat status daerah penuh dan selepas ini kita mahu bina kompleks pentadbiran baharu di Pantu,” katanya.
Untuk membina kompleks pentabdiran baharu ini ia katanya berkehendakkan sejumlah wang.
Tetapi menurut Abang Johari rakyat tidak perlu bimbang akan soal kewangan kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) ada untuk membantu.
“Kalau sudah ada pusat pentadbiran kita dapat promosi Pantu sebagai pusat pelancongan sebelum ke Batang Ai. Mudahan Pantu punyai masa depan yang baik di bawah GPS kerana susah untuk meneruskan pembangunan jika Pantu tidak sehaluan dengan GPS,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/14 |