TERIMA KASIH: Jafry (tengah) menerima cendera kenangan daripada Jelani sambil disaksikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dalam usaha mengenal pasti perayaan atau pesta kesukuan di Sabah untuk dijadikan produk pelancongan.
Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya sedang mengusahakan perkara itu dan bukan setakat satu pesta etnik sahaja tetapi beberapa beberapa perayaan. "Sebagai contohnya perayaan Magahau yang dianjurkan Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) pernah mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila pernah menjuari persembahan tarian dan pakaian tradisional di ITB Berlin Jerman," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Magahau 2021, di sini, semalam.
Terdahulu dalam ucapannya, Jafry menjelaskan Pesta Magahau yang disambut sememangnya berpotensi untuk diangkat sebagai salah satu produk pelancongan dan kebudayaan negeri Sabah yang utama.
Katanya, selain kisah sejarah sambutan Magahau yang mampu menarik perhatian pelancong, pergerakan tarian ini juga bersifat interaktif dan pastinya mampu membuatkan mereka menari bersama.
"Pesta seumpama ini juga merupakan platform yang baik bagi pihak kerajaan untuk mencipta kesan limpahan ekonomi secara langsung kepada masyarakat tempatan.
"Inilah masanya untuk kita memperkenalkan produk-produk etnik Rungus seperti kraftangan, pakaian tradisi, produk makanan, hasil tani dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Presiden SAMORA Datuk Jelani Hamdan berkata, pihaknya memberikan jaminan bahawa akan sentiasa menambahbaik dari segi penganjuran Pesta Magahau termasuk merombak struktur zon-zon yang sedia ada pada masa ini dan telah bermula pada tahun 2019.
"Sebagai contoh, zon Kudat telah di sub zonkan seperti Tomborungus (Kudat), Simpang Mengayau dan Sikuati. Begitu juga dengan zon-zon yang lain turut di struktur semula berdasarkan nama tempat yang terkenal dalam zon tersebut.
"SAMORA berusaha dan akan terus mengatur langkah di masa hadapan dengan berpaksikan cita-cita akan mengadakan sambutan Pesta Magahau di luar Negara bagi tujuan memperkasakan lagi pesta ini serta memartabat dan memasyurkan lagi bangsa Rungus di mata masyarakat dunia," katanya.
Katanya, walaupun usaha-usaha murni seumpama ini masih lagi terpalit isu kontroversi yang mengaitkan Pesta Magahau dengan unsur-unsur ritual dan penyembahan.
Jelani menjelaskan, pihaknya tetap berasa bersyukur sambutan Pesta Magahau sejak tahun 2019 mula diterima oleh masyarakat kaum Rungus kerana tiada lagi isu berulang seperti yang dialami isu pada tahun-tahun sebelumnya.
utusanborneo.com.my/2021/12/13
|