Edited by Vellfire at 13-12-2021 12:41 AM
PADAH: Antara suspek yang berjaya ditahan dalam operasi tersebut.
SANDAKAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan tiga lelaki disyaki memproses minyak masak tanpa lesen dalam dua operasi berasingan di Jalan Labuk, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, anggota PGA juga turut merampas sebanyak 400 kilogram minyak masak yang dibawa oleh suspek.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata serbuan itu dijalankan dengan kerjasama pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Katanya, bertindak atas maklumat dan pemerhatian, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berumur 68 tahun berada di dalam kenderaan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemukan sebanyak 25 jerikin berkapasiti 30 liter disyaki mengandungi minyak masak,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.
Menurutnya, pasukan operasi turut membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Batu 12, Jalan Labuk, di sini dan menahan dua lelaki berumur 34 dan 43 tahun.
“Kedua-dua suspek ditahan atas kesalahan memiliki barang-barang memproses minyak masak tanpa lesen,”katanya.
Abdul Rani berkata pasukan operasi kemudiannya cuba menahan sebuah lori tiga tan yang dipandu seorang lelaki namun suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan lorinya.
“Hasil pemeriksaan lanjut, lori berkenaan didapati membawa tangki kosong berkapasiti 1,000 kilogram.
“Pihak KPDNHEP kemudiannya merampas kenderaan berkenaan dan dibawa balik untuk proses dokumentasi,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rani berkata, hasil operasi kali ini, pihaknya berjaya merampas minyak masak yang dianggarkan bernilai RM1,000 bersama kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua kenderaan dan telefon bimbit milik suspek dianggarkan bernilai RM97,500.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Berjadual minyak masak subsidi.
“Suspek disyak munasabah untuk melakukan kesalahan iaitu berurus niaga barang kawalan berjadual tanpa kebenaran dari pengawal bekalan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/12
|