KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan satu siasatan dibuat berhubung klip video yang disebarkan Voon Lee Shan yang merupakan Presiden Parti Kenyalang (PBK) dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.
SPRM Sarawak dalam kenyataan juga menjelaskan bahawa pihaknya cuba menghubungi beliau, namun gagal.
"Bagaimanapun, pada 12 Disember (Ahad), SPRM berjaya mengesan dan berjumpa dengan beliau di sekitar Kenyalang Park.
"Pada waktu itu, pihak SPRM menjelaskan kepada Voon tentang keperluan untuk hadir ke Pejabat SPRM bagi membantu siasatan," kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, beliau turut diserahkan notis hadir pemeriksaan Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagaimana kehendak undang undang.
Sehubungan itu, SPRM menegaskan dakwaan berlaku adegan kejar mengejar adalah tidak benar.
"Begitu juga dakwaan tangkapan telah dilaksanakan kepada beliau juga adalah tidak benar," jelas kenyataan itu lagi.
Pihak SPRM hanya menyampaikan notis pemakluman untuk beliau memberikan kerjasama kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.
Voon bagaimanapun telah memberi kerjasama dan menghadirkan diri ke pejabat SPRM Kuching pada pagi tadi untuk membantu siasatan.
Jelas kenyataan itu lagi, SPRM sentiasa menjaga etika dan bersifat profesional semasa menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang undang yang berkuatkuasa.
Terdahulu, satu video tular yang dimuat naik oleh Voon di akaun Facebooknya mendakwa dirinya ditahan penguatkuasa SPRM.
Calon PBK Batu Lintang itu berkongsi dua video di Facebook sekitar jam 8 pagi selepas mendakwa dihalang ketika memandu seorang diri di dalam keretanya.
Katanya, pada ketika itu beliau sedang memandu keretanya melintasi Kenyalang Park sebelum diarah berhenti oleh individu di sebuah kereta.
"Ketika memandu ada sebuah kereta mengekori dari belakang sebelum individu dalam kereta terbabit memberi arahan untuk berhenti kepada saya.
"Mereka bagaimanapun merampas kunci kereta lalu menahan saya dan saya tidak tahu kenapa saya ditahan," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/12
|