Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan di Jalan Mukah-Balingian.
MUKAH: Seorang maut apabila kereta dinaikinya merempuh tiang telekomunikasi di tepi jalan di Jalan Mukah-Balingian sekitar 6.30 petang pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, penumpang dikenali sebagai Zafane Laisa @ Vecent Laiseng 36 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada Utusan Borneo.
Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan dipandu oleh adik mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebuah tiang telekomunikasi.
Tangkapan telah dibuat ke atas pemandu di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan ditahan di lokap Balai Polis Mukah.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah.
Kes masih dalam siasatan pihak polis.
utusanborneo.com.my/2021/12/11
|