Penglibatan PETROS dalam industri minyak, gas terus diperkukuh
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuhkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam menerajui kerajaan meningkatkan penglibatan dalam industri minyak dan gas.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejak diperbadankan pada 2017, PETROS telah mencapai beberapa kejayaan dalam sektor huluan dan hiliran.
Antara pencapaian dalam sektor huluan katanya, PETROS terlibat dalam penerokaan, pembangunan dan perlombongan minyak dan gas di kawasan daratan Blok SK433 berdekatan Miri dan Marudi.
Selain itu, katanya anak syarikat milik sepenuhnya PETROS iaitu Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd (PETROS EP) diiktiraf sebagai pengeluar gas ekuliti ketiga terbesar di Sarawak selepas PETRONAS Carigali dan Shell.
“Dalam hiliran, PETROS bekerja rapat dengan entiti kerajaan lain untuk meningkatkan penggunaan gas domestik menerusi inisiatif Peta Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
“Sejak 1 Januari 2020, PETROS adalah entiti tunggal bagi membekal, menjual dan mengedar gas domestik kepada pelanggan industri dan perumahan dengan pemilikan dan pengendalian Sistem Pengedaran Gas Miri dan Bintulu.
“Pada 4 Ogos 2021, PETROS LPG memasuki kediaman dan perniagaan Sarawak bermula di bandar Kuching, Padawan dan Bau dan diperluaskan ke seluruh negeri tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan PETROS bagi meningkatkan bekalan gas asli ke Sarawak di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo dan Pengerusi PETRONAS Tan Sri Dato Seri Mohd Bakke Salleh.
Tambah Abang Johari, kerajaan Sarawak telah melancarkan Visi 2030 dengan matlamat untuk mengubah Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi.
Pemboleh bagi visi, adalah untuk memacu penggunaan gas domestik dalam sektor huluan seperti penjanaan kuasa, petrokimia dan industri lain dengan menghadkan pelepasan karbon.
PETROS katanya adalah pusat sehenti bagi pengoperasian rantaian nilai gas dan minyak Sarawak dengan kolaborasi pemain dalam pasaran termasuk pelabur dan PETRONAS.
Sebab itu katanya kerajaan akan terus memperkukuhkan PETROS bagi membolehkan penyertaan aktif negeri dalam industri minyak dan gas bagi mencapai Visi 2030.
utusanborneo.com.my/2021/12/11
|